LIPIS – Masalah kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur- Karak (KLK) dijangka dapat diatasi dalam tempoh dua tahun berikutan dua projek utama prasarana siap menjelang 2027.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kesesakan yang menjadi isu utama di laluan berkenaan akan dapat diatasi dengan siapnya naik taraf Lebuh Raya KLK dan juga siapnya projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjelang penghujung 2026.
Menurutnya, pada akhir 2026 ECRL akan siap dan beroperasi pada 2027 kemudian naik taraf jalan karak highway ke KL juga akan siap pada 2026.
“Sepertimana yang saya katakan lagi cuma empat perayaan lagi (Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha) kita akan hadapi ini (kesesakan luar biasa) cuma harap pengguna dapat bersabarlah,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Pahang Rail Tourism di Stesen Kereta api Lipis di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri memberi perhatian kepada keselesaan pengguna jalan raya yang melalui laluan berkenaan.
Beliau berkata, masalah kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya KLK sepanjang 60 kilometer bagaikan menjadi rutin kepada pengguna jalan raya khususnya setiap kali perayaan dan cuti sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, Pahang menerima kelulusan peruntukan Kerajaan Pusat sebanyak RM224.8 juta bagi menaiktaraf jalan Raub- Lipis dan menaikkan aras jalan Jerantut Jerantut- Kuala Lipis
“Projek taraf jalan struktur turapan jalan Sungai Koyan ( FT1503) dari Seksyen 0.00 hingga Seksyen 29.3 Raub-Lipis dengan kos sebanyak RM100 juta.
” Projek aras jalan Jerantut- Kuala Lipis ( FT234) dari Seksyen 42 00 hingga Seksyen 48.00 dan dari seksyen 55.0 hingga Seksyen 57.00,Jerantut bernilai RM124.820 juta,” katanya.
Menurut Wan Rosdy, projek ini akan dilaksanakan segera tahun depan mengikut prosedur pengeluaran tender dan pemilihan kontraktor berwibawa bagi menjamin projek disiapkan mengikut jadual. – UTUSAN