KUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat perniagaan fesyen dalam talian, FashionValet tidak akan menjejaskan keputusan syarikat itu untuk terus melabur dalam syarikat pemula lain.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, dalam konteks Khazanah, mandat terbabit masih dikekalkan dan pada masa sama mekanisme kawalan bagi pelaburan membabitkan syarikat pemula akan ditambah baik.
“Khazanah telah menyediakan satu dana khusus iaitu dana impak untuk tujuan melabur bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan membina daya tahan negara sambil menghasilkan manfaat dan impak sosial ekonomi kepada rakyat terutama untuk syarikat pemula dan modal teroka.
“Antara inisiatif khazanah untuk tujuan tersebut adalah penubuhan Jelawang Capital sebagai sebuah National Fund-of-Funds (NFOF) dengan komitmen RM1 billion untuk memacu pertumbuhan ekosistem modal teroka Malaysia menerusi dana impak seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2025.
“Kedua, Pelaksanaan Emerging Fund Managers’ Programme (EMP) danRegional Fund Managers’ Initiative (RMI) yang akan dikelola di bawah Jelawang Capital
“Dalam konteks ini adalah wajar Khazanah terus melabur dalam ekosistem modal teroka selaras dengan mandat ekonomi Madani bagi menyokong pembangunan negara secara keseluruhan,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang menyatakan adakah Khazanah tidak akan melabur dalam syarikat pemula atau terdapat strategi lain untuk Khazanah membuat pelaburan model teroka memandangkan kerugian dialami Fashion Valet.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, tindakan sudah diambil susulan kerugian dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam komitmennya terhadap FashionValet.
“Pelaburan Khazanah dalam FashionValet sudah dibuat tujuh tahun lalu. Sejak itu, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak.
“Proses pemilihan pelaburan juga diperketatkan termasuk pelaburan dalam syarikat pelaburan dan modal teroka,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, selari dengan mandat Ekonomi Madani bagi memangkin ekonomi negara, keperluan untuk menyokong syarikat pemula adalah wajar.
“Pelaburan modal teroka memainkan peranan penting dalam menyokong ekonomi Malaysia, seterusnya membantu negara beralih kepada status pendapatan tinggi melalui inovasi dan pertumbuhan mampan.
“Pelaburan melalui modal teroka berupaya memacu inovasi dengan menyediakan modal bagi syarikat pemula dan perusahaan berpotensi mencipta teknologi baru.
“Selain itu, ia membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsangkan ekonomi dan perkenal teknologi baharu dari pasaran luar ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN