KENINGAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) mempunyai merit untuk menjalankan siasatan mengenai isu-isu rasuah yang tersebar dalam media sosial asalkan ia telah mendapat verifikasi atau pengesahan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pada masa ini cara kerja SPRM sudah jauh berbeza iaitu mereka tidak perlu menunggu laporan rasmi sebaliknya, boleh bertindak berdasarkan isu-isu semasa yang dibangkitkan dalam laman media sosial.
Beliau berkata, aduan atau rungutan masyarakat disampaikan dalam pelbagai cara contohnya tentang isu rasuah membabitkan pengasas FashionValet yang kini sedang dalam siasatan.
“Cerita sebenarnya keluar daripada Parlimen dan dia menyebut tentang aduan yang diterima daripada masyarakat.
“Kalau dulu, mungkin kita tidak berapa respon atau sensitif tentang isu yang dibangkitkan dalam media sosial tapi, sekarang ini menjadi satu kemestian,” katanya semasa merasmikan Pejabat SPRM cawangan Keningau, hari ini.
Beliau berkata, apabila bercakap tentang menghapuskan ketirisan, isu berkait FashionValet ini membabitkan wang rakyat.
“Jadi apabila bercakap tentang kehilangan katalah RM47 juta mungkin kepada separuh masyarakat mengatakan ia kecil tetapi, pada kami ini duit kita semua..ini duit rakyat. Jadi, perlu kita siasat betul tak betul cerita lain.
“Tetapi memerlukan satu agensi seperti kami untuk menyiasat dengan terperinci adakah isu ini benar atau tidak. Satu-satunya agensi yang boleh sahkan maklumat itu betul atau tidak adalah SPRM,” katanya.
Walau bagaimanapun, SPRM kena berhati-hati dalam mengambil maklumat yang dibangkitkan melalui media sosial kerana ada kalanya maklumat disebarkan tidak sahih.
Maka, ia memerlukan SPRM menganalisis dan menilai kesahihan setiap maklumat yang disebarkan melalui media sosial.
“Penilaian diperlukan bagi melihat sama ada maklumat itu berguna atau tidak untuk kita teruskan tindakan. Banyak contoh-contoh yang sekarang ini dalam tindakan siasatan kami, ia berpunca daripada rungutan masyarakat,” katanya.
Jelas beliau, sejak 2020 dan selepas pandemik Covid-19, cara kerja SPRM telah berubah dan perlu lebih proaktif dalam mengambil tindakan berdasarkan maklumat yang dibangkitkan dalam media sosial. – UTUSAN