Ismail Sabri seru PBT seluruh negara contohi DBKL

Ismail Sabri seru PBT seluruh negara contohi DBKL

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara perlu mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil tindakan tegas dengan menurunkan papan tanda bahasa lain di sekitar ibu kota.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkahtersebut perlu dicontohi oleh PBT lain bagi memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Kata beliau, PBT tidak lagi sepatutnya bertolak asnur dengan mana-mana pihak yang meremehkan bahasa Melayu.

“Sudah sampai masanya seluruh PBT menggunakan bahasa Melayu dengan menguatkuasakan undang-undang yang dimiliki dan tidak lagi bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang meremehkannya.

“Ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa Kebangsaan,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan DBKL minggu lalu, melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu berkata, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Justeru, katanya, tiada pilihan untuk mana-mana pihak tidak menggunakan bahasa Persekutuan di papan tanda atau dalam urusan di negara ini.

“Malah penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda juga tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong. Sebagai contoh, negara jiran Thailand menggunakan bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut.

“Saya mencadangkan supaya tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu di papan tanda termasuk golongan yang meremehkan penggunaan bahasa Kebangsaan ini.

“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya