Irama asli cabar bakat nyanyian golongan remaja - Utusan Malaysia

Irama asli cabar bakat nyanyian golongan remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika dahulu, lagu irama asli sangat terkenal dan menjadi kegemaran golongan bangsawan kerana muziknya yang mendayu-dayu serta lirik puitis sarat dengan nasihat.

Namun, bukan semua penyanyi mampu mendendangkan lagu tradisional ini kerana teknik nyanyiannya berbeza berbanding genre lain.

Mempunyai lenggok dan cara penyampaian tersendiri, kini keunikan lagu irama asli ini boleh dikatakan hampir dilupakan kerana penerimaan lagu moden lebih luas daripada lagu tradisional terutamanya golongan remaja.

Disebabkan itu juga, badan kerajaan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan pertandingan Bintang Asli Remaja Peringkat Kebangsaan 2024 yang dijangka berlangsung selama dua hari, pada 23 dan 24 November ini.

Bertempat di Auditorium JKKN Pahang, pertandingan yang melibatkan setamai 28 peserta dari seluruh negeri itu berpotensi melahirkan lebih ramai lagi penyanyi irama asli dalam industri muzik tanah air.

Menurut Pengarah Bahagian Pengembangan Seni Budaya, Mohamd Raizuli Jusoh, peserta yang terlibat bakal menjalani latihan intensif bagi menguasai cara nyanyian dengan betul menjelang hari pertandingan nanti.

“Pertandingan ini disertai oleh 14 peserta lelaki dan perempuan sekitar usia 17 hingga 25 tahun di seluruh negeri. Jumlah keseluruhannya seramai 28 orang di mana kami pilih dua peserta daripada pertandingan yang dijalankan di setiap negeri.

“Sebelum dibawa ke peringkat kebangsaan, semua peserta akan dikuarantinkan di dalam satu tempat untuk menjalani latihan secara intensif bagi menguasai cara nyanyian yang betul untuk lagu-lagu yang dipilih untuk mereka.

“Latihan intensif itu juga dibuat untuk membimbing peserta untuk menyampaikan lagu irama asli dengan baik sekali gus memartabatkan keagungan genre itu agar tidak luput ditelan zaman,” katanya.

Tambahnya lagi, usaha ini juga mampu membuka mata golongan muda untuk lebih menghargai muzik tradisional yang sebenarnya mempunyai permintaan yang tinggi untuk upacara korporat.

“Ramai yang tidak tahu, muzik irama asli ini mempunyai permintaan yang tinggi dalam kebanyakan upacara rasmi. Pertandingan ini juga membantu membuka peluang dan pintu rezeki peserta dan penyanyi lagu irama asli untuk membuat persembahan di majlis-majlis kerajaan, kebudayaan dan istana.

“Ini kerana, lagu irama asli ini merupakan identiti negara Malaysia kerana keunikannya yang tersendiri berbanding lagu-lagu moden,” jelasnya.

IRAMA ASLI GENREYANG MENCABAR
Ibarat satu dalam sejuta, ada juga golongan remaja yang meminati lagu irama asli dan berani mempertaruhkan bakat nyanyian mereka di pentas kebangsaan itu.

Kata peserta yang berasal dari Pulau Pinang, Adriana Azzara Mohd Rizal, 18, dia sendiri tidak meminati lagu irama asli sehingga mula melibatkan diri dalam sebuah bengkel anjuran JKKN.

“Pada saya, sebenarnya lagu asli ini semua orang patut kenal. Tapi dalam lingkungan kawan-kawan saya mungkin kebanyakannya tidak tahu pun membezakan lagu asli dengan lagu irama Malaysia.

“Majoriti anggap lagu asli dengan lagu irama Malaysia ni sama, sebenarnya tidak. Malah, lagu asli ini susah untuk disampaikan disebabkan ada banyak peraturan yang kita perlu ikut bila menyanyikan lagu itu agar selari dengan penjiwaan emosi dan mesej yang ingin disampaikan,” katanya.

Dalam masa sama, peserta mewakili JKKN Sarawak, Abdul Halim Hisamudin, 19, dia melihat perjalanannya dalam mengetengahkan irama asli dalam jangka masa yang panjang memandangkan sudah dipupuk oleh ibu bapanya sejak kecil.

“Saya memang minat daripada lagu asli dari kecil sebab ibu bapa saya suka buka lagu lama-lama. Jadi, dari situ saya mula minat dengan lagu-lagu asli, lagu-lagu lama dan lagu irama Malaysia.

“Saya juga mula masuk kelas lagu asli di Sarawak sekitar usia 9 tahun. Itu juga mendorong saya untuk belajar lebih mendalam tentang lagu asli. Saya melihat minat saya ini daam jangka masa yang panjang kerana dari kecil sampai ke besar saya sudah didedahkan untuk menguasai lagu asli,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya