PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan Institut Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) terus menjadi institusi pendidikan yang mampu melahirkan guru dan cendekiawan di negara ini.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, buktinya, lebih 6,382 orang pelajar IPGM yang bergraduasi hari ini telah pun mendapat penempatan masing-masing sejak akhir September lalu.
Beliau berkata, kesemua graduan IPGM ini telah ditempatkan di seluruh negara.
“Kita ucapkan tahniah kepada mereka kerana mereka telah penempatan lebih awal sebelum mereka bergraduasi hari ini.
“Mereka mula ditempatkan sejak 30 September lalu malah, gaji pertama pun pun sudah dapat. Jadi mereka telah mendapat tempat dan melaksanakan tugas sebagai guru,” katanya selepas menyempurkan Majlis Penutup Istiadat Konvokesyen Kali Ke-14 IPGM KPM di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, mereka ini adalah guru terlatih dan bersedia menjadi tenaga pengajar di semua tempat mereka diletakkan.
“Keperluan guru ini diperlukan di semua tempat dan kita akan tempatkan mereka seadil-adilnya untuk semua.
“Malah, komitmen kita ialah memastikan anak-anak kita mendapat yang terbaik dari guru-guru ini,” katanya.
Istiadat Konvokesyen IPGM KPM Ke-14 2024 berlangsung sejak 3 November lalu dan berakhir hari ini dan konvokesyen secara berpusat itu telah dilaksanakan sejak tahun 2011 lagi.
Graduan yang menamatkan pengajian serta latihan perguruan ini membabitkan 28 IPG kampus di seluruh negara termasuk English Language Teaching Centre (ELTC). – UTUSAN