PUTRAJAYA: Pihak industri diseru agar lebih aktif melibatkan diri menyokong kerajaan dalam agenda memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melalui pendekatan ini, institusi TVET berupaya menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran seperti
ditetapkan pihak industri.
Beliau berkata, kerjasama pihak industri dan institusi TVET yang kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dengan permintaan berlaku secara komprehensif.
“Input daripada pihak industri yang konsisten mencakupi aspek kuantiti dan kualiti tenaga kerja yang diperlukan adalah amat penting dan kritikal.
“Ketepatan input ini kemudiannya disusuli dengan pembangunan kurikulum dan pelaksanaan program-
program yang bersesuaian oleh institusi TVET,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) 2024 di sini, hari ini.
Katanya, pihak industri juga boleh memainkan peranan dan sumbangan dalam penyediaan tempat dan kemudahan untuk penganjuran pertandingan serta kepakaran teknikal dalam membangunkan soalan pertandingan dan latihan persediaan peserta.
Fadillah berkata, pihak industri juga boleh menyediakan bahan guna habis bagi penganjuran dan penyertaan pertandingan serta penajaan penyertaan ke pertandingan peringkat antarabangsa.
Menurutnya, beliau percaya jalinan kerjasama erat bersama pihak industri ini dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai teknologi terkini yang mempunyai kesan limpahan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
“Saya juga mahu pasukan negara memungut pingat emas pertama di Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) di Shanghai akan datang,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Fadillah turut menyampaikan Anugerah Tokoh Mahir 2024 kepada
Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group Bhd, Datuk Seri P Ganes.
Selain itu, pelajar Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu, Misto Mikin pula menerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (Belia) manakala, Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (Pengajar) pula dimenangi oleh Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim dari Kolej Kemahiran Tinggi Mara. – UTUSAN