PETALING JAYA: Mengambil keberkatan hari Jumaat, penyanyi, Ina Naim, selamat bernikah kali kedua dengan pilihan hatinya iaitu Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor pagi tadi.
Majlis pernikahan telah selamat diadakan di kediamannya, Felcra Sg Ara, Kota Tinggi Johor sekitar 9:50 pagi tadi.
Menerusi beberapa rakaman yang tular di aplikasi TikTok, Ina dalam busana coklat muda dan krim itu dilihat sebak selepas bersalaman kali pertama dengan suaminya yang juga merupakan seorang duda.
Difahamkan, pengantin lelaki telah menyerahkan mas kahwin RM100, alat solat dan gelang, cincin dan lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Sebelum ini menerusi sesi siaran langsung, penyanyi Duhai Hati itu sempat berkongsi bahawa pengenalannya dengan suami bermula dengan hantaran mesej singkat di aplikasi Whatsapp.
Ujar Ina, Khairul akan menghantar pesanan ringkas mengucapkan selamat pagi dan malam setiap hari sehingga membuatnya rimas.
Sebelum ini, Ina pernah berkahwin dengan bekas ahli kumpulan nasyid Suhaimi Saad pada 12 Ogos 2007.
Bagaimanapun, Suhaimi meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada 15 November tahun lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.
Pihak Utusan Malaysia sudah cuba menghubungi Ina bagi bertanya lanjut namun tidak berjaya.