Imigresen perkenal pas khas dalam talian warga asing

Imigresen perkenal pas khas dalam talian warga asing

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika perhimpunan bulanan KDN di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen akan memperkenalkan pas khas dalam talian (eSP) khususnya bagi warga asing yang ingin memasuki dan tinggal di Malaysia tidak melebihi tempoh 30 hari, bermula Januari tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, inisiatif itu adalah antara usaha pendigitalan agensi selain mengurangkan kesesakan di kaunter JIM.

Beliau berkata, pas khas ini dikeluarkan berdasarkan peraturan 14, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“eSP adalah platform permohonan pas khas secara dalam talian dalam menguruskan keberadaan pemegang Pas Lawatan Sosial (PLS) Jangka Panjang dan Pas Lawatan Ikhtisas (PLIK) yang
mempunyai pas yang masih sah.

“Mana-mana warganegara asing yang sedang menunggu keputusan untuk permohonan baharu/ lanjutan/ pertukaran PLS Jangka Panjang/ PLIK atau yang mengalami masalah seperti sakit kemalangan jalan raya, bencana alam dan berada di dalam situasi yang di luar kawalan boleh memohon eSP ini.

“Secara asasnya, eSP adalah suatu kemudahan kepada pemohon dalam menguruskan hal-hal berkaitan imigresen, terutama dalam situasi kecemasan atau yang memerlukan pertimbangan khas,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, KDN tidak akan berkompromi dari aspek keselamatan meskipun proses permohonan dilakukan secara dalam talian.

Saifuddin berkata, pemohon juga perlu memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan mengikut dasar semasa yang berkuat kuasa selain dikehendaki memuat naik dokumen sokongan diperlukan.

Menurutnya, setiap permohonan akan disemak dengan teliti oleh pegawai bagi memastikan hanya warganegara asing yang benar-benar layak akan diberikan kemudahan eSP.

“Pemohon yang tidak memenuhi syarat kelayakan atau tidak diluluskan, akan diarahkan untuk hadir ke Pejabat Imigresen terdekat bagi pemeriksaan lanjut dan penjelasan berhubung status permohonan mereka,” katanya.

Katanya, ketika ini, urusniaga permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual di mana pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.

“Memandangkan 50 peratus warganegara asing yang hadir ke Pejabat Imigresen adalah untuk
urusan menyelaras keberadaan di Malaysia, hal ini telah menyebabkan kesesakan di Bahagian Visa, Pas dan Permit,” katanya.

Pada tahun 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan, manakala setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas telah dikeluarkan kepada warganegara asing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya