KUALA LANGAT: Perumahan flat yang didapati menjadi lokasi penempatan koloni pendatang asing tanpa izin (PATI) akan digempur pihak berkuasa dalam usaha membanteras masalah kebanjiran komuniti itu secara haram.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Jafri Embok Taha berkata, pihaknya sudah pun menyenaraikan kawasan-kawasan yang dikenal pasti wujud koloni PATI menerusi risikan JIM.
“Kita sudah kenal pasti hotspot. Operasi kita tak pernah putus, setiap hari kita buat namun dalam skala kecil dan sederhana. Untuk skala besar adalah libatkan pelbagai agensi seperti malam tadi (flat Pandan Mewah) dan akan buat dari masa ke semasa. Kita tak berhenti.
“Polis ada senarai, kita pun ada senarainya. Kita tahu di mana tempat mereka dan susun jadual (operasi), kehadiran kita itu penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat di sini, hari ini.
Tambahnya, kerjasama sentiasa dilakukan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membanteras PATI.
Semalam, Jabatan Imigresen menggempur Flat Pandan Mewah di Ampang dekat sini dan memeriksa 400 individu keseluruhannya. Hasil serbuan selama lima jam bermula pukul 6 petang itu berjaya menahan 119 PATI berusia 18 hingga 50 tahun.
Jelas Jafri lagi, permasalahan PATI seperti sedia maklum wujud di seluruh negara bermula di Sabah hingga Perlis.
“Dalam masa sama, kita tidak boleh selesaikan semua namun kita sentiasa mengambil tindakan berterusan terhadap kawasan-kawasan yang wujudnya koloni ini,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kewujudan pejabat Imigresen Cawangan Kuala Langat yang dijangka akan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat serta mengurangkan kesesakan di pejabat Imigresen seperti Kelana Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya.
“Pengoperasiannya mampu mengeluarkan sehingga 100 pasport sehari. Kita maklum di Kuala Langat ini penduduknya lebih kurang 300,000 kita jangka akan ada banyak permohonan visa terutama untuk sektor perladangan di sini.
“Di sini juga kita dapat pendekkan tempoh untuk kita siapkan permohonan pasport dalam masa sejam atau lebih mereka dah boleh dapatkan pasport mereka,” ujarnya. – UTUSAN