PUTRAJAYA: Setelah lebih enam tahun menabur bakti, Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Nor Azamir Alias kembali dilantik pula sebagai Timbalan Mufti.
Uniknya, menurut sumber masjid tersebut, beliau mula memegang jawatan yang baru diperkenalkan di Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang itu pada 1 November lalu.
Sebelum ini, beliau pernah juga menjadi Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan dari 2009 sehingga 2018 apabila diberikan pula amanah baharu sebagai Imam Besar MTMZA.
Watikah pelantikan Nor Azamir telah diserahkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee di agensi tersebut pada 29 Oktober lepas.
Beliau yang lahir pada 7 Julai 1970 di Mantin, Negeri Sembilan pernah bertugas sebagai guru selepas memperoleh diploma di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam.
Lepasan Sekolah Menengah Agama Batu 9, Cheras dan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam itu juga ialah graduan Universiti Al-Azhar, Mesir.
Nor Azamir pernah bekerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan selaku Pegawai Agama Islam Daerah di Kuala Pilah dan Rembau serta Bahagian Penguatkuasaan.
Minatnya dalam bidang kefatwaan menyaksikan beliau pernah mengikuti Sijil Pengurusan Dakwah dan Pengendalian Fatwa di Masyikah Al-Azhar Al-Sharif dan Dar Al-Ifta’ di Mesir.
Sumbangan dalam syiar Islam juga menyaksikannya menerima Darjah Setia Negeri Sembilan, Ahli Setia Negeri Sembilan dan Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat di negeri itu.
Sepanjang bertugas sebagai imam besar pula, beliau yang juga pembimbing kursus ibadah haji itu pernah meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di Jabatan Perdana Menteri. – UTUSAN