BALIK PULAU: Bangkai seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 45 hingga 75 kilogram (kg) dijumpai terdampar di pesisiran pantai Teluk Bahang di sini, Khamis lalu.
Penemuan terbaharu itu menjadikan sebanyak enam kes melibatkan ikan lumba-lumba ditemukan mati direkodkan di pantai negeri ini sepanjang tahun ini.
Pengarah Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin berkata, ikan lumba-lumba yang terdampar itu dari spesies Porpois Ambu (Finless Porpoise) dan bangkai ikan tersebut dipercayai telah dibawa arus ombak ke pantai.
“Punca kematian ikan lumba-lumba itu mungkin akibat pelanggaran kapal, terperangkap pada pukat, terlepas atau mengejar makanan di kawasan yang cetek.
“Ini adalah kes keenam yang dicatatkan melibatkan penemuan ikan lumba-lumba terdampar di pantai,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai penemuan bangkai seekor ikan lumba-lumba di kawasan pantai berhampiran sebuah hotel di Teluk Bahang. – UTUSAN