PETALING JAYA: Penganjuran Program Intercontinental World Cultures (ICWC) 2024 baru-baru ini berjaya menarik lebih 40 negara dari pelbagai benua menyertainya.
Program anjuran Udsmedia Sdn. Bhd. itu diadakan selama tiga hari di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) sempena Smart Nation Expo 2024.
Udsmedia dalam satu kenyataan memaklumkan, program tersebut berjaya menjadi pemangkin kepada hab budaya, seni dan diplomasi global.
“Penganjuran acara itu turut menjadi pemangkin kepada penyatuan negara dari seluruh dunia dalam kepelbagaian perayaan, mencetuskan hubungan dan komunikasi yang bergema di luar sempadan.
“Sebagai pesta kebudayaan dan komunikasi, misi ICWC 2024 adalah memperjuangkan pandangan budaya dan komunikasi secara inklusif sebagai nadi komuniti global yang bersatu,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, acara berkenaan menampilkan pameran antarabangsa yang menyerlahkan tradisi unik, inovasi dan kisah negara di seluruh dunia selain persidangan antarabangsa.
“Persidangan itu menghimpunkan pemimpin industri dan pakar budaya dalam membincangkan bagaimana budaya boleh menjadi penggerak dalam komunikasi dan pertumbuhan ekonomi.
“Pengunjung dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dengan tarian tradisional, muzik dan seni yang melukiskan gambaran kekayaan warisan dunia,” ujarnya.
ICWC turut diserikan pertunjukan fesyen pakaian tradisional oleh Malaysian Global Runaway menyaksikan kemunculan iMrs Diva International 2022 dan Naib Juara Mrs International Glam Icon 2022 memperagakan pakaian tradisional. – UTUSAN