BUKIT MERTAJAM: “Saya mahukan keadilan untuk anak saya.”
Itu luahan Lim Sheau Ling, 42, ibu kepada Lee Zi Rou, 21, yang maut akibat dihempap kontena yang dibawa sebuah treler dalam kejadian di Jalan Bukit Tengah di sini, pada Rabu lalu.
Sheau Ling yang juga ibu kepada empat orang perempuan anak berusia antara 18 hingga 24 tahun itu berkata, dia tidak mahu kejadian yang menimpa anak keduanya itu berlaku kepada orang lain selepas ini.
“Saya mahukan keadilan untuk anak saya. Saya tidak mahu orang lain pula kena (kemalangan dihempap kontena). Anak saya tidak salah. Dia anak yang baik, rajin dan selalu bantu keluarga kami,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Taman Alma di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Sumber Manusia yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong hadir menziarahi keluarga mendiang bagi menyampaikan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Zi Rou yang memandu kereta jenis Perodua Bezza maut di lokasi kejadian kerana tersepit dalam kenderaannya selepas kontena yang dibawa sebuah treler terjatuh lalu menghempap kenderaan mangsa.
Sheau Ling berkata, ketika kejadian, anaknya dalam perjalanan ke tempat kerja dan dia sempat menelefon mangsa selepas kemalangan itu berlaku.
“Dia (Zi Rou) hanya beritahu saya, Mummy, saya rasa sakit sangat, tolong saya,” katanya yang tidak menyangka itu adalah perbualan terakhir mereka.
Dalam pada itu, Steven berkata, pemergian mendiang sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepada ibu dan dua adiknya yang masih belajar.
“Setelah semakan dibuat, Perkeso mendapati mangsa merupakan kerani di Syarikat Lo Best Smart Solution dengan pendapatan bulanan RM1,500 dan merupakan pencarum Perkeso sejak 1 Oktober 2022.
“Rekod Perkeso mengesahkan mendiang adalah pencarum bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan dia telah terkorban dalam kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.
“Punca kematian mendiang disebabkan oleh ‘traumatic asphyxiation due to road traffic collision’ sekali gus melayakkan mendiang menerima manfaat bawah Skim Bencana Pekerjaan,” katanya. – UTUSAN