Ibu sempat jumpa Nizasuhana dua hari lalu

Ibu sempat jumpa Nizasuhana dua hari lalu

SUASANA di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ibu kepada salah seorang mangsa yang maut dalam kemalangan berhampiran IOI Conezion di sini, awal pagi tadi memaklumkan dia sempat bertemu anaknya, Nizasuhana Ujang, 28, buat kali terakhir pada Selasa lalu.

Lina Harun, 60, berkata, ketika menghubungi Nizasuhana malam tadi, dia ada memintanya untuk pulang ke rumah.

“Dua hari lepas (kali terakhir kami berjumpa). Malam tadi saya telefon dia, saya tanya bila mahu balik (ke rumah), dia beritahu kalau tak esok, lusa dia akan balik.

“(Kebiasaannya) memang selalu balik, kalau dia masuk kerja pagi, petang dia akan balik ke rumah. Kalau masuk (kerja) petang, waktu pagi dia akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini.

Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu dan tiga penumpang disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta berhampiran IOI Conezion Putrajaya dekat sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.20 pagi.

Sementara itu, abang kepada mangsa, Azri Azim, 33, berkata, dia menerima makluman berkaitan kejadian yang menimpa adiknya itu kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

Jelasnya, Nizasuhana yang bekerja sebagai jurutol di Plaza Tol Batu 9, Lebuhraya Grand Saga, Cheras, sering pulang ke rumah keluarga yang terletak di Balakong, walaupun menginap di hostel pekerja.

“Saya tak pasti (dia mahu ke mana ketika kejadian), dia kerja (jurutol) bukan duduk di rumah (keluarga), dia duduk di hostel sendiri. Mungkin ketika (kejadian) dia nak balik ke hostel, saya tak pasti.

“Kami ahli keluarga tahu pun dari seorang makcik. Kiranya polis pergi ke rumah makcik, polis dapat alamat dan pergi ke sana, baru lah kami dapat tahu,” katanya.

Ditanya sama ada dia mengenali tiga lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut, Azri Azim berkata, dia tidak mengenali mana-mana mangsa yang terlibat dan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa adik perempuanya itu.

Dia turut memaklumkan bahawa adiknya itu masih belum berkahwin.

“Saya tak dapat kepastian lagi, sebab kat situ ada seorang perempuan lain dan dua lelaki (jadi) yang hamil saya tak tahu siapa,” katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dituntut keluarga lewat petang ini selepas selesai proses bedah siasat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya