KUALA LUMPUR: Penyanyi Ning Baizura, 49, menyifatkan penyertaannya dalam program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 adalah hadiah terindah buat ibunya, Satilah Abdullah, 81, yang mengidap penyakit dementia.
Tidak mampu menahan sebak, pemilik nama penuh Ning Baizura Sheikh Hamzah berkata, dia mahu ibunya mengukir kenangan terindah untuk melihatnya kembali beraksi di kaca televisyen (TV) selepas sekian lama tidak membuat kemunculan.
“Di saat ibu saya berusia 80-an dan menghadapi penyakit dementia, saya rasa ini adalah waktu terbaik untuk lihat anaknya muncul di TV. Sebak sebab mungkin dia ingat-ingat lupa bila kali terakhir saya buat persembahan di TV, jadi inilah hadiah terbaik untuk saya berikan kepadanya.
“Ibu saya sudah sakit tiga tahun. Dia cergas, tapi saya sedih. Sebagai anak, saya hanya mampu memberinya kenangan terindah. Ini adalah antara kenangan terindah yang saya mahu berikan kepadanya supaya tak lupa dan boleh lihat persembahan anaknya sekali lagi. Dulu pun ibu adalah pengurus saya,” katanya.
Ning berkata demikian pada sidang media pengumuman peserta GV11 di sini, semalam.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Dugaanku itu turut menyatakan dia bukan mahu meraih simpati sebaliknya mahu mencipta memori terindah bersama ibunya yang bertanggungjawab membawanya masuk ke dalam industri muzik tanah air.
“Bukan nak menagih simpati, tapi ini saya buat untuk ibu. Suami saya juga menyokong keputusan saya ini demi membuat ibu saya gembira. Ulang tahun ibu jatuh pada 1 Disember ini.
“Kalau saya masih kekal, ibu mahu datang untuk menonton persembahan saya. Saya mahu berikan yang terbaik kerana ibulah yang bertanggungjawab menjadikan siapa saya hari ini,” jelasnya.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam program realiti tersebut, Ning memberitahu dia teruja untuk menimba ilmu nyanyian dengan lebih mendalam bersama juri profesional seperti Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Meskipun dirinya sudah mempunya profil yang tinggi dalam bidang tersebut, Ning mahu bersaing secara sihat bersama 13 lagi peserta lain yang tidak kurang hebatnya.
“Sebenarnya saya sudah banyak kali ditawarkan oleh pihak produksi untuk sertai GV. Tetapi, sebelum ini saya rasa belum masanya sehinggalah ada rakan-rakan saya sudah sertainya. Jadi, kenapa saya tidak.
“Di usia saya begini apa saja boleh berlaku, jadi saya tidak mahu perjuangan saya berakhir begitu saja. Mungkin orang kata saya sudah berada di tahap tertentu.
“Tapi apa itu ‘level’? Pada saya, perkataan itu hanya Allah sahaja yang boleh tentukan aras kita. Saya sudah 30 tahun menyanyi, apa salahnya saya mencuba dan belajar,” katanya.
Ning bakal bersaing dengan 13 peserta lain dalam GV11 yang akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria setiap Ahad bermula 24 November ini, jam 9 malam.
Selain Ning, edisi kali ini turut disertai oleh barisan penyanyi hebat tanah air seperti Liza Aziz, Illa Sabri, Sheila Abdull, Ronnie Hussein, Fairuz Selamat, Arrora Salwa, Reshmono, Nai Dinamik, Yazif Lovehunters dan Zehra Zambri.
Lebih menarik lagi, musim kali ini juga turut disertai oleh penyanyi hebat dari Indonesia iaitu kumpulan The Lima, Inka Christie serta vokalis kumpulan Dadali, Dyrga. -UTUSAN