BUTTERWORTH: Empat lelaki termasuk dua beradik direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes ugut dengan melepaskan tembakan ke arah kediaman sepasang suami isteri di Lorong Bunga Rampai di sini, semalam.
Permohonan reman terhadap suspek utama dan rakannya yang masing-masing berusia 43 dan 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Balqis Roslin manakala dua beradik lagi yang berusia 50-an itu dibenarkan untuk direman tiga hari.
Kesemuanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 akta sama.
Semalam, polis menahan empat suspek terbabit di sebuah kediaman di Lorong Mawar, Jalan Raja Uda kira-kira pukul 3.30 petang selepas menerima laporan daripada suami isteri yang mendakwa diugut dengan cara melepaskan tembakan di rumah mereka.
Menerusi serbuan sama, polis turut merampas pistol serta peluru dalam milikan suspek utama.
Terdahulu, dalam kejadian pukul 10.50 pagi itu, suami isteri berkenaan yang berada di rumah didatangi suspek utama dan seorang lagi rakannya yang kemudian melakukan ugutan kononnya mangsa tidak membayar hutang berjumlah RM29,000 ketika berjudi pada April lalu.
Susulan itu, suspek utama mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan ke arah dinding dalam rumah tersebut. – UTUSAN