PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menggesa semua pihak agar menghormati usaha yang diambil oleh kerajaan untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024.
Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, RUU itu bertujuan memartabatkan dan memperkasakan institusi mufti di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Selain itu, katanya, tindakan pihak tertentu yang menyarankan penggantian Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar sebagai Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Profesor Madya Dr. Luqman Abdullah sebagai Mufti Wilayah Persekutuan susulan isu penggubalan RUU Mufti dianggap sebagai suatu saranan yang tidak sepatutnya dibangkitkan.
“Naim dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebagai Senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan manakala pelantikan sebagai Menteri adalah berdasarkan Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.
“Mufti Wilayah Persekutuan pula dilantik berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).
“Kedua-dua tokoh kepimpinan ini telah dilantik oleh Sultan Ibrahim berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam menurut undang-undang dan perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Syed Kamarulzaman berkata, mana-mana pihak perlu menghentikan sebarang tindakan menghasut atau menanam kebencian dalam kalangan masyarakat Islam dengan segera khususnya kedudukan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan.
Jelasnya, tindakan itu akan menghalang usaha murni kerajaan bagi mengukuhkan pentadbiran Islam di negara ini.
“Perbezaan pandangan perlu ditangani dengan sifat toleransi (tasamuh) dan beradab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat madani,” katanya. – UTUSAN