KUALA LUMPUR: Dalam landskap ekonomi dunia yang kian mencabar, Hong Kong terus muncul sebagai pintu masuk strategik ke Tanah Besar China dan pasaran Asia yang lebih luas.
Tema ini menjadi tumpuan utama seminar perniagaan anjuran Invest Hong Kong (InvestHK) dan Pejabat Pembangunan Guangdong-Hong Kong-Macao Greater Bay Area (GBA) di sini pada 8 November lalu.
Acara itu menarik lebih 140 peserta daripada komuniti perniagaan Malaysia, menonjolkan potensi besar untuk kerjasama rentas sempadan.
HONG KONG SEBAGAI PANGKALAN STRATEGIK
Seminar bertajuk The Arising Business Opportunities-The Greater Bay Area and Hong Kong dihadiri Pesuruhjaya Pembangunan Guangdong-Hong Kong-Macao Greater Bay Area, Maisie Chan dan Ketua Pengarah Promosi Pelaburan InvestHK, Alpha Lau.
Dalam ucapan mereka, kedua-dua tokoh menegaskan tentang kedudukan unik Hong Kong sebagai penghubung antara perniagaan antarabangsa dan GBA, meliputi sembilan bandar di Guangdong, Hong Kong dan Macau.
Maisie Chan menyifatkan GBA sebagai ‘enjin berkelajuan tinggi’ untuk pertumbuhan serantau dalam memanfaatkan prinsip ‘Satu Negara, Dua Sistem’.
“Hong Kong merupakan pangkalan ideal untuk syarikat Malaysia yang mahu meneroka pasaran lebih luas di rantau ini,” katanya.
Inisiatif GBA dirangka untuk meningkatkan aliran sumber manusia, barangan, modal dan maklumat merentasi sempadan, sekali gus membuka peluang baharu kepada syarikat asing yang mahu berkembang di China.
Alpha Lau menegaskan tentang kelebihan Hong Kong termasuk sistem perundangan kukuh, infrastruktur kewangan mantap dan persekitaran perniagaan unggul di rantau ini.
“Hong Kong bukan sahaja sebuah bandar bertaraf antarabangsa dalam GBA, malah berperanan sebagai platform pelancaran bagi syarikat asing yang mahu menerokai pasaran Tanah Besar China. Dengan dasar strategik dan persekitaran perniagaan yang kondusif, Hong Kong berada dalam kedudukan terbaik untuk menyokong firma Malaysia yang ingin berkembang ke GBA,” ujarnya.
GBA mempunyai kawasan seluas 56,000 kilometer persegi dengan populasi sekitar 87 juta dan juga pasaran dinamik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah hampir 2 trilion dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2023.
Industri utama yang mencatatkan pertumbuhan kukuh termasuk inovasi dan teknologi (I&T), perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan, serta pembuatan termaju. Dengan kumpulan bakat yang berkualiti dan pasaran kewangan yang canggih, Hong Kong bersedia memainkan peranan utama dalam memacu sektor-sektor ini ke hadapan.
MANFAAT BAGI SYARIKAT MALAYSIA
Pemain industri, Joseph Lee dari Kairous Capital dan Lawrence Liu dari Dewan Perniagaan Malaysia di Hong Kong, berkongsi pandangan praktikal mengenai penggunaan Hong Kong sebagai platform pelancaran untuk memasuki pasaran GBA.
Mereka menjelaskan bagaimana rejim cukai yang kompetitif, tenaga kerja dwibahasa dan lokasi strategik Hong Kong menyediakan asas kukuh bagi perniagaan Malaysia untuk berkembang.
“Hong Kong adalah pintu masuk bagi perniagaan yang ingin berkembang dalam GBA, menawarkan rangka kerja undang-undang jelas dan halangan kemasukan lebih rendah berbanding memasuki Tanah Besar China secara langsung,” kata Joseph Lee.
Tambahnya, status Hong Kong sebagai hab kewangan global, digabungkan dengan inisiatif seperti Taman Inovasi dan Teknologi Hong Kong-Shenzhen, menjadikannya destinasi utama bagi syarikat permulaan dan firma yang sudah mapan.
MENGHADAPI CABARAN DAN MEMANFAATKAN PELUANG
Walaupun prospek yang ditawarkan menjanjikan syarikat yang ingin memasuki GBA melalui Hong Kong mungkin menghadapi beberapa cabaran, antaranya pematuhan peraturan dan persaingan pasaran. Namun, Kerajaan SAR Hong Kong melalui agensi seperti InvestHK memberi jaminan untuk menyediakan sokongan menyeluruh bagi mengurangkan halangan ini.
Dalam ucaptamanya, Maisie Chan memperkenalkan pelbagai inovasi dasar yang bertujuan mempertingkatkan aliran sumber manusia, barangan, modal dan maklumat dalam GBA, seterusnya mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi perusahaan asing mengakses pasaran GBA.
Salah satu sorotan utama seminar itu adalah perbincangan mengenai peranan Hong Kong dalam mempromosikan inovasi dan teknologi di GBA. Kerjasama bandar tersebut dengan Shenzhen untuk mewujudkan Zon Kerjasama Inovasi dan Teknologi, yang merangkumi Taman Hong Kong dan Taman Shenzhen, turut diserlahkan sebagai bukti komitmen untuk membangunkan ekosistem teknologi bertaraf dunia.
Kumpulan pertama bangunan dan makmal Hong Kong Park dijangka dibuka pada akhir tahun ini, menarik syarikat I&T berprestij ke rantau itu.
MENINGKATKAN KERJASAMA MALAYSIA-GBA
Justeru, terdapat potensi besar untuk kerjasama antara Malaysia dan GBA terutamanya dalam sektor seperti perkhidmatan kewangan, produk halal dan pembuatan pintar. Bagi perniagaan Malaysia, penggunaan strategik Hong Kong sebagai platform pelancaran boleh membuka peluang besar di pasaran GBA.
Dengan momentum yang semakin meningkat, inisiatif GBA kini memberi peluang kepada perusahaan Malaysia untuk meneroka bagaimana kedudukan unik Hong Kong boleh bertindak sebagai pemangkin bagi pengembangan serantau mereka.
Seminar perniagaan di Kuala Lumpur itu menjadi platform penting untuk memperkukuhkan kerjasama, membuka laluan bagi firma Malaysia berkembang maju dalam landskap GBA yang pesat membangun melalui Hong Kong. – UTUSAN