KUALA LUMPUR: Dalam kerancakan penganjur mengadakan konsert artis-artis pop dan rock, Affizmusic Entertainment melawan arus dengan menganjurkan sebuah konsert yang menggabungkan kumpulan nasyid ternama iaitu Hijjaz dan Rabbani.
Kata penganjur, Aida Hashim, 51, pihaknya berhasrat menghidupkan kembali irama nasyid tanah air menerusi Konsert Rahmati Melaka yang bakal berlangsung dua hari bermula 13 Disember ini.
“Akhir-akhir ini kita dilambakkan dengan konsert-konsert moden. Idea untuk menggabungkan kembali Hijjaz dan Rabbani adalah untuk menaikkan kembali irama nasyid terutama untuk generasi anak-anak muda.
“Selain itu, kami juga akan bawakan artis tempatan Melaka,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia pada majlis sidang media Konsert Rahmati Melaka di Kampung Baru, baru-baru ini.
Aida dalam masa yang sama yakin konsert tersebut akan menerima sambutan menggalakkan meskipun ia dianjurkan bersamaan konsert-konsert lain yang bakal memberi saingan.
“Sebagai penganjur onsert, sudah tentu kami risau dengan jualan tiket.
“Namun, dengan sokongan dan kolaborasi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Negeri Melaka, kami yakin konsert ini akan mendapat sambutan.
“Jadi kepada peminat nasyid yang tidak tahu lagi di mana mahu tengok konsert sebegini, boleh datang ke konsert kami.
“Tempat duduk juga kita pisahkan antara lelaki dan perempuan,” katanya.
Konsert Rahmati Melaka bakal berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC).
Turut memeriahkan majlis adalah bekas penyanyi kumpulan Raihan, Affad & Daqmie, Zamani , Furhan XPose, Yasser Atak dan Sazali MS.
Tiket dijual pada harga bermula RM88. -UTUSAN