‘Hidup tiada tekanan tanpa media sosial’ - Utusan Malaysia

‘Hidup tiada tekanan tanpa media sosial’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA media sosial menjadi antara platform yang penting bagi kegunaan seharian, ada juga individu yang memilih untuk tidak mengikuti perubahan media massa itu.

Maklumlah, platform itu sahaja mampu menyebarkan pelbagai informasi dengan cepat dan lebih meluas namun, kesahihannya kadang-kadang tidak setepat berita yang terpampang di dada akhbar.

Seperti pemilik nama penuh Norliza Abdul Aziz, 61, dia mengakui dirinya lebih selesa tidak mempunyai sebarang platform media sosial mahupun aplikasi Whatsapp meskipun perkara itu adalah satu keperluan untuk kerjayanya sebagai seorang penyanyi.

Selain menganggap perkara itu kurang memberi tekanan, penyanyi terkenal era 80-an itu menyerahkan segala urusan yang melibatkan kerier nyanyiannya kepada pembantu peribadi.

“Saya tidak kisah dengan apa orang nak berkata. Saya tiada media sosial, saya tak baca semua itu. Orang mahu hubungi saya pun melalui pembantu peribadi saya. Saya okay saja hidup tanpa media sosial, kurang tekanannya,” katanya.

Kata Liza lagi, platform tersebut bukan sekadar memberi ruang kepada orang ramai untuk menghakimi, malah mampu menjejaskan privasi dirinya yang kekal eksklusif hingga hari ini.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Bisikan Rindu itu syukur dirinya masih menerima undangan untuk membuat persembahan terutamanya di luar negara meskipun tidak berkongsi perkembangan terkininya di mana-mana platform.

“Saya memilih untuk menjalani kehidupan yang eksklusif kerana tidak mahu orang tahu saya buat apa dalam kehidupan saya. Apa-apa yang berlaku, semua pembantu peribadi saya yang hadap.

“Bukan saya seorang sahaja, kakak saya, Azlina pun tiada media sosial. Rezeki itu sentiasa ada dan saya banyak terima undangan di Brunei yang orang tidak tahu,” jelasnya.

TIDAK GENTAR PERTARUHKAN BAKAT DALAM PROGRAM REALITI

Sementara itu, siapa sangka penyanyi lagenda yang mempunyai kelas tersendiri ini masih mahu melibatkan diri dalam program realiti, Gegar Vaganza musim Ke-11 (GV11) yang bakal tiba tidak lama lagi.

Liza berkata, kemunculannya menerusi pertandingan nyanyian itu membuktikan dirinya masih lagi aktif dalam industri muzik setelah sekian lama tidak muncul di kaca televisyen.

“Saya terima kerana saya masih aktif menyanyi. Banyak galakkan yang saya terima daripada keluarga dan peminat. Pertandingan ini adalah perkara yang sihat.

“Saya juga pernah menyertai macam-macam pertandingan. Tetapi, pertandingan kali ini berbeza kerana ada juri yang pandai menilai terutamanya Datuk Ramli MS.

“Saya syorkan mana-mana penyanyi untuk masuk kerana ini platform yang bagus. Kita pun diadili juri profesional. Apa yang penting kesihatan dan nyanyian yang baik,” katanya bersahaja.

Meskipun gelaran legenda dipandang tinggi oleh sesetengah pihak, penyanyi itu tidak gentar dan terbuka menerima sebarang kritikan yang bakal dilontarkan kepadanya nanti.

“Pada saya, saya suka buat persembahan. Pada saya, itulah konsert saya. Kalau dikritik, kita masuk telinga kiri keluar telinga kanan saja. Saya okey saja dengan cabaran yang akan datang. Saya pun boleh menyanyikan lagu pelbagai bahasa.

“Kalau digelar juara, itu rezeki. Tapi kita tetap kena buat yang terbaik. Saya bukan bagus sangat. Kita tidak tahu tahap kesihatan itu macam mana dan bukan tertumpu pada nyanyian semata.

“Kalau nyanyian kita tidak betul, itu yang saya takut. Saya tidak ada sebarang tekanan.Saya hanya mampu berdoa sahaja. InsyaAllah, saya pun sudah berpuluh tahun menyanyi. Jadi, saya sudah belajar dan cuba menyanyi pelbagai genre sepanjang kerjaya saya.

“Sebagai penyanyi, kita kena sentiasa berlatih setiap hari walaupun memang berbakat. Kita kena sentiasa bersenam untuk jaga pernafasan dan kesihatan,” jelasnya.

Liza merupakan antara 14 peserta yang bakal bersaing dalam program realiti yang akan mula bersiaran pada 24 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya