MEMILIKI rupa paras yang cantik dan tutur kata yang lemah lembut, siapa sangka pemilik nama penuh Hawa Rizwana Ahmad Redzuan, 29, memiliki jiwa yang lasak dan handal melakukan aktiviti scuba diving atau selam skuba.
Menurut Hawa, jiwa lasaknya sentiasa menuntut dirinya untuk mencuba pelbagai aktiviti atau sukan yang mampu mencabar daya tahannya sejak kecil lagi meskipun kedua ibu bapanya kurang berkenan.
“Bab sukan ini minat dari kecil sebab saya suka main bola sepak dengan adik beradik yang semua lelaki. Tapi bila sudah besar, ibu bapa saya agak tegas sikit. Jadi, saya mula dengan berbasikal, berlari dan kick boxing. Tapi pada Mei lalu, saya mula scuba diving sebab pelakon, Bella Dowana ajak. Benda ini saya hendak sangat buat lima tahun lepas, tapi waktu itu belum ada masa sebab aktif dalam bidang kewartawanan dan sambung belajar.
“Alhamdulillah, tahun ini saya banyak masa untuk fokus lakukan aktiviti ini. Mula-mula saya takut, bila sudah buat beberapa kali aktiviti open-water di Pulau Perhatian dari situ saya mula rancang hendak menyelam di mana selepas ini,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Hawa, aktiviti menyelam itu mula giat dilakukan selepas mendapat sokongan dan motivasi daripada komuniti menyelam dan rakan-rakan sekerjaya yang sudah lama sertai aktiviti tersebut seperti Bella dan penyanyi, Wany Hasrita.
“Tiga tahun lepas, ada sebuah pusat menyelam ini ajak saya sertai mereka tapi saya tiada masa. Bila tahun ini Bella ajak, saya terus sertai dan kita belajar menyelam di kolam renang Universiti Putra Malaysia (UPM). Di situ saya diperkenalkan dengan peralatan lengkap dan belajar selam di sana. mahal itu demi mendapatkan lesen menyelam dan sewa beli peralatan.
“Komuniti itu beri pengaruh yang kuat sebab kawan-kawan saya pun sudah tahap dive master. Seronoknya mengenai sukan ini, dia membentuk komuniti yang sangat positif. Saya dapat sokongan kuat dari Bella dan Wany Hasrita yang mahir menyelam juga,” jelasnya.
Dari takut menjadi cinta, pengacara itu turut memaklumkan dia sudah melaburkan hampir ribuan ringgit untuk hobinya yang dianggap mahal itu demi mendapatkan lesen menyelam dan sewa beli peralatan.
“Pada mulanya, saya tidak berani laburkan banyak untuk menyelam ini. Saya hanya beli beberapa peralatan asas terlebih dahulu dan selebihnya, saya sewa dari pusat menyelam. Sekarang, saya sudah betul-betul minat, jadi saya rancang nak beli kelengkapan yang lain seperti regulator dan sebagainya tahun hadapan.
“Untuk dapatkan lesen menyelam ini, bergantung kepada individu itu sendiri. Ada yang cakap selepas buat open water kena menyelam banyak kali baru dapat advance level. Tetapi, saya terus buat advance sementara ada waktu ini sebab selalu menyelam di tempat yang memerlukan lesen itu.
“Kos keseluruhan boleh dikatakan ribuan ringgit juga untuk peralatan dan sewa barang. Saya boleh katakan ini merupakan hobi yang mahal,” katanya.
Ditanya mengenai keistimewaan aktiviti air itu, Hawa berasa bertuah kerana berpeluang menikmati keindahan ciptaan Tuhan di dasar laut yang unik dan cantik.
“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah pergi ke empat tempat. Tiga di Malaysia, satu di Maldives. Mula-mula di Pulau Perhentian dan kedua di Pulau Tioman. Dua-dua tempat itu saya pergi untuk ambil lesen. Kemudian, di Pulau Tengkor.
“Apa yang menarik mengenai aktiviti ini adalah bila di darat kita tak belajar sangat tentang ciptaan dan hidupan di dasar laut. Bila di Tioman saya jumpa penyu yang hampir di dasar laut, buat saya rasa sedar di Malaysia ini banyak yang kita boleh teroka.
“Macam-macam juga hidupan yang kita perlu jaga untuk tarikan pelancong. Waktu saya pergi itu, Sultan Pahang baru sahaja dua minggu karamkan rangka LRT. Saya rasa seronok dapat cabar diri menyelam dalam rangka itu,” jelasnya.
Tidak terlepas dengan cabaran, Hawa sempat berkongsi berdepan detik cemas apabila salah satu peralatan menyelamnya tertanggal ketika melakukan aktiviti di Maldives.
Kata Hawa, kelebihan aktiviti air ini secara tidak langsung membantu dirinya untuk berfikir secara logik dan tenang ketika berada dalam situasi yang sukar.
“Sewaktu di Maldives, saya punya mask longgar. Waktu menyelam itu air sudah masuk sikit-sikit. Lepas saya cuba ketatkan beberapa kali dia terus terbuka. Waktu itu sudah menyelam lebih kurang 18 meter. Dalam tak nampak itu saya picit hidung dan pegang dive guide dan dia suruh saya bernafas dengan betul.
“Menyelam ini mengajar kita lebih tenang dan fikir secara logik. Syukur saya tenang ketika itu sebab kita tidak boleh naik semula sebab kalau seorang naik semua kena naik. Saya tidak mahu jadi penyebabnya. Kalau saya tidak tenang, mungkin saya akan mati,” katanya.