PAPAR: Hasrat Parti Warisan (Warisan) ingin bekerjasama dengan parti tempatan boleh dilakukan sekarang dan tidak perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jika benar mereka ingin bekerjasama, tidak payah tunggu pilihan raya, sekarang masih ada tempoh setahun lagi sebelum PRN17.
“Bukannya kata mahu bekerjasama tapi tiap-tiap hari maki hamun, hentam kita. Kalau beri kritikan konstruktif, tiada masalah..tidak jadi isu. Tapi, kadang-kadang bercakap seolah-olah, orang tertentu ini tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan…tidak pernah ada kuasa.
“Cerita pasal migrasi. Berapa lama sudah orang kita di Sabah ini terpaksa bekerja di Semenanjung Malaysia. Bukan masa GRS sahaja, sudah berpuluh tahun termasuk di kawasan orang yang bercakap.
“Rakyat dia pun ramai yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan dia telah memimpin kawasan itu berpuluh tahun. Jadi, cakap berpada-pada,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak projek naik taraf Jalan Lok Kawi-Kinarut, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas tentang hasrat Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang ingin bekerjasama dengan parti tempatan menjelang PRN Sabah akan datang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, jika lihat kepada teras perjuangan GRS iaitu ‘Sabah United’, ia jelas menunjukkan keterbukaan mereka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak. Sekiranya ada pihak ingin bekerjasama mulakan dari sekarang.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, kerajaan GRS-PH Plus masih mempunyai tempoh kurang setahun untuk duduk berbicara tentang isu-isu berkaitan dengan pembangunan Sabah.
Sebelum ini, Mohd. Shafie mengulangi pendirian bahawa Warisan terbuka untuk bekerjasama dengan parti tempatan bagi menghadapi PRN17. – UTUSAN