PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim hari ini mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Hakim Besar Malaya.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh pula mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.
Hasnah, 65, mengangkat sumpah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir pada Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman, di sini.
Dilahirkan pada 15 Mei 1959 di Kuantan, Pahang, Hasnah memulakan kerjayanya sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara pada 1983.
Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan penting antaranya Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1994, Ketua Pengarah Insolvensi Jabatan Insolvensi Malaysia (2008) dan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (2009).
Beliau juga pernah memegang jawatan Pesuruhjaya Kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Hakim Mahkamah Rayuan.
Sementara itu, Ahmad Terrirudin, 56, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ahmad Terrirudin yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada 12 April 1968, sebelum ini dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa 6 September 2023, dan telah mengakhiri tugas rasmi beliau, semalam.
Ahmad Terrirudin yang memulakan kerjaya sebagai pegawai undang-undang di Bank Negara pada 1992 sudah berkhidmat di pelbagai kedudukan termasuk Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2007 dan kemudian dilantik Pengerusi Mahkamah Perusahaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
Beliau juga pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian Guaman III di Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara dan berkhidmat sebagai penasihat undang-undang negeri Kedah sebelum dilantik Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2019 dan Peguam Cara Negara pada 2022.
Dalam pada itu, turut mengangkat sumpah jawatan adalah Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab, Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Datuk Ismail Brahim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin sebagai Hakim Mahkamah Rayuan di hadapan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim.
Pada majlis sama, 15 Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi di hadapan Hasnah.
Mereka ialah Azizan Md Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Md Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St James.
Hakim Mahkamah Tinggi yang lain ialah Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar DJ Paul.
Zaleha Mohd Yusuf Pan, 52, pula menerima Surat Cara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.
Terdahulu, media melaporkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 25 hakim di Istana Negara hari ini. – UTUSAN