Harimau belang mati digilis lori di jalan Gerik-Jeli - Utusan Malaysia

Harimau belang mati digilis lori di jalan Gerik-Jeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Seekor harimau belang dewasa ditemukan mati akibat digilis sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 67.1, di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, dekat sini hari ini.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, kejadian selepas Hentian Titiwangsa itu berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi membabitkan lori yang dalam perjalanan dari arah Gerik ke Jeli.

Katanya, jantina haiwan pemangsa itu tidak dapat dikenal pasti ekoran keadaan karkas yang hancur.

“Maklumat berkaitan kejadian itu diterima pada pukul 9 pagi di mana kakitangan Perhilitan Daerah Gerik telah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Ketika tiba di sana, didapati keadaan karkas hancur akibat dilanggar kenderaan lain. Disebabkan itu, sukar untuk kita mengenal pasti jantina dan anggaran umur haiwan liar tersebut namun dipercayai ia harimau dewasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan badan harimau yang telah hancur itu juga menyukarkan pihaknya untuk membuat pengecaman bagi mengenal pasti ID Kumpulan haiwan liar tersebut.

“Bagaimanapun, kita percaya harimau belang ini dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temengor, Hutan Simpan Gerik atau Royal Belum,” katanya.

Tambahnya, karkas harimau itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) Lanchang, Pahang bagi proses taksedemi (pengawetan) khususnya di bahagian kepala mamalia itu yang masih tersisa.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan harimau belang dilanggar lori dengan keadaan badan hancur dan kepala putus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN