PETALING JAYA: Harga beras putih import (BPI) akan diturunkan daripada RM3,000 kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa Ahad ini di pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Semenanjung.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah yang diambil selaras dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia dan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
Menurut beliau, pihaknya optimis inisiatif itu akan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan memastikan bekalan beras lebih mudah diakses pada harga lebih rendah.
“Penurunan harga ini adalah kali kedua diumumkan Bernas pada tahun ini selepas perubahan harga daripada RM3,200 kepada RM3,000 per tan metrik yang diumumkan pada Mac lalu.
“Penurunan terbaharu ini dijangka menurunkan harga jualan runcit BPI antara RM2 hingga RM3 bagi setiap kampit 10 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihaknya akan meneruskan perbincangan dengan pemegang taruh untuk memperhalusi rancangan jangka panjang berkaitan struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.
Kata beliau, langkah itu penting bagi memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang, kebajikan pesawah terpelihara, dan tahap sara diri (SSR) beras negara dapat ditingkatkan.
“Keputusan itu akan mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam menjaga kebajikan rakyat dan mengukuhkan agenda keterjaminan makanan negara.
“Penurunan harga ini diharap dapat memberi kelegaan kepada pengguna dan menyumbang kepada kestabilan pasaran beras dalam negara,” katanya. – UTUSAN