Hanya sekadar nama, lagu ‘Aiman Tino’ diterima baik - Wani Kayrie - Utusan Malaysia

Hanya sekadar nama, lagu ‘Aiman Tino’ diterima baik – Wani Kayrie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Setelah setahun tidak muncul dengan lagu baharu, penyanyi Wani Kayrie mengakui lega apabila single terbaharunya yang berjudul Aiman Tino mula mendapat maklum balas positif.

Selain meyakinkan lagu tersebut tiada kaitan dengan penyanyi lelaki itu, Wani atau nama penuhnya Syazwani Abdullah, 24, menyifatkan mesej yang disampaikan juga berbeza daripada apa yang disangkakan oleh orang ramai.

“Bila saya teliti semula komen-komen untuk perbaiki, rata-ratanya sudah mula berikan maklum balas positif. Sebelum ini, orang hanya dengar bahagian korus sahaja. Bila versi penuh sudah keluar, ada yang sudah faham maksud dan penceritaan lagu ini,” katanya.

Kata Wani lagi, dia amat berbesar hati untuk menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat, Ezra Kong itu yang turut disifatkan menepati jiwa dan identitinya sebagai penyanyi.

“Pada awalnya saya terima demo, tajuk dia memang Aiman Tino. Saya ingat bukan untuk saya. Tapi, Ezra kata memang lagu ini untuk saya. Tidak dinafikan bila pertama kali dengar lagu ini, saya suka melodinya yang rancak dan menepati jiwa saya.

“Liriknya juga senang untuk dihafal di mana sangat dekat dengan cita rasa pendengar sekarang. Saya sangat berbesar hati menerima lagu ciptaan Ezra Kong yang sememangnya hebat dalam mencipta lagu,” jelasnya.

Wani berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis pelancaran muzik video lagu Aiman Tino, di sini, semalam.

Sementara itu, Shakireen Othman selaku Ketua Muzik dan Kandungan Rocketfuel mengesahkan pihaknya sudah menghubungi syarikat rakaman Aiman Tino untuk meminta kebenaran menggunakan nama penyanyi itu sebagai judul lagu tersebut terlebih dahulu.

“Ada saja lagu-lagu terdahulu yang menggunakan nama orang. Kita pilih nama Aiman Tino itu sebab kena dengan bait lirik lagu tersebut. Ketika Ezra datang dengan demo, kami cuba tukar dengan nama lain tapi tidak senada dengan lirik yang ada.

“Kami juga ada hubungi syarikat rakaman Aiman Tino untuk mendapatkan kebenaran mereka menggunakan nama Aiman. Jadi, itu hanya sekadar nama sahaja dan lagu itu berkisahkan seorang wanita meminati lelaki yang berwajah seperti Aiman Tino,” katanya.

Wani bagaimanapun mengakui dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk single terbaharunya itu sebaliknya dia berharap lagu itu diterima baik oleh peminat dan pendengar.

“Untuk setiap lagu saya, saya tidak meletakkan sebarang harapan yang tinggi. Setiap pendengar mempunyai cita rasa tersendiri. Untuk peminat saya, mereka sentiasa terbuka untuk menerima dan menyokong karya saya,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya