PUTRAJAYA: Rutin menghantar Muhammad Danial Mohd Nuzi, 24, ke tempat kerja setiap hari sepanjang minggu lalu menjadi antara kenangan terakhir Mohd Nuzi Tamli, 57, bersama anak kelapan dari 10 adik beradik itu.
Mohd Nuzi yang juga penjawat awam berkata, tiada sebarang perubahan ketara yang ditunjukkan oleh Muhammad Danial dan anaknya itu hanya bersikap seperti biasa.
Menurut Mohd Nuzi, dia menerima berita mengenai kejadian yang menimpa Muhammad Danial daripada anak perempuannya yang memaklumkan Muhammad Danial terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Saya dapat tahu kira-kira pukul 11 pagi tadi semasa berada di tempat kerja di Petaling Jaya, memang sangat terkejut dan hampir tumbang sebelum ditenangkan oleh rakan sekerja.
“Tiada sebarang perubahan ditunjukkan oleh Danial, tapi sepanjang minggu lalu memang saya hantar dia ke tempat kerja setiap hari dan kali terakhir kami berhubung melalui panggilan telefon adalah dua hari lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemandu dan tiga penumpang disahkan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta berhampiran IOI Conezion Putrajaya dekat sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.20 pagi.
Mengulas lanjut, Mohd Nuzi berkata, anaknya itu bekerja sebagai seorang operator di kilang biskut di Kota Puteri, Kuala Selangor dan sudah lebih tiga bulan duduk berasingan daripada keluarga dan tinggal di rumah sewa.
Tambahnya lagi, Muhammad Danial adalah seorang anak yang baik dan menghormati orang tua serta merupakan seorang bekas pelajar tahfiz yang kadang kala ada dipanggil untuk menjadi imam secara sementara di masjid sekitar Bestari Jaya.
“Danial ini bekas pelajar tahfiz dan dia menghafal 30 juzuk al-Quran.
“Saya pun tak tahu nak luahkan perasaan bagaimana kerana ini kali pertama saya kehilangan seorang anak,” katanya dalam nada sebak.
Mohd Nuzi memaklumkan, jenazah anaknya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Bestari Jaya selepas proses bedah siasat selesai. – UTUSAN
//