Hampir tidak sertai SFMM39, Hafiz Suip kini menetap di Kuching demi jaga ibu - Utusan Malaysia

Hampir tidak sertai SFMM39, Hafiz Suip kini menetap di Kuching demi jaga ibu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Hafiz Suip memaklumkan dia kini menetap di Kuching, Sarawak demi menjaga ibu bapanya di sana.

Menurut Hafiz, ibunya, Hazlinawati Salleh, 60, mempunyai masalah kesihatan yang agak serius dan terpaksa menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Kuching.

“Saya kini menetap di Kuching untuk menjaga ibu bapa saya di sana. Buat masa ini saya terpaksa berjauhan dengan isteri dan anak-anak buat seketika.

“Hari ini hari kelima ibu saya dirawat di hospital kerana mengalami masalah paru-paru berair yang memberi kesan kepada jantungnya.

“Setakat ini, perkembangan yang saya terima daripada doktor adalah tiga daripada empat injap jantungnya kurang berfungsi. Selain itu, ibu juga ada masalah kencing manis, jadi sebab itulah saya ambil keputusan untuk menetap di sana,” katanya.

Hafiz yang berjaya menembusi pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) menerusi lagu Terus Bersinar itu turut memaklumkan dia hampir tidak menyertai acara itu kerana berat hati untuk meninggalkan orang tuanya.

Namun, Hafiz akur untuk beraksi di pentas itu selepas mendapat dorongan daripada ibunya yang tidak mahu dia mengecewakan peminatnya yang sudah lama merindukan kemunculannya.

“Kalau diikutkan berat rasa nak ke Kuala Lumpur tapi saya ingat pesan ibu minta saya buat persembahan pada malam ini (semalam) untuk tidak kecewakan peminat.

“Ibu saya doakan yang terbaik untuk membabitkan saya dalam SFMM39 ini. Dialah yang memberi dorongan untuk saya meneruskan persembahan pada malam ini. Tapi itulah perasaan kita sebagai seorang anak ni,” jelasnya.

Hafiz bagaimanapun sempat memohon kepada orang ramai agar mendoakan kesihatan ibu bapanya bertambah baik.

Dalam perkembangan lain, Hafiz yang sudah lama tidak bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) telah mempertaruhkan lagu Terus Bersinar ciptaan Mass Dewangga, Jova Devito dan Datuk Arisz Ab Rahman.

Sekadar info, kali terakhir Hafiz bertanding di pentas AJL pada edisi ke-34 dengan mempertaruhkan lagu Kisah Cinta Kita ciptaan Ikhwan Fattana, Ayden Ali dan Datuk A. Aida sekaligus berjaya merangkul anugerah Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya