BACHOK: Kira-kira 1,000 penduduk Kampung Beris Lalang di sini mendesak pihak berkuasa tempatan (PBT) mencari jalan penyelesaian segera terhadap masalah bau busuk di kawasan pelupusan sampah sehingga menyebabkan pembiakan anjing liar di kampung tersebut.
Selain itu, kawasan tersebut turut menjadi tempat pembuangan anjing oleh pihak tidak bertanggungjawab sekali gus mengancam haiwan ternakan penduduk sejak lapan bulan lalu.
Nik Mohd. Aiman Haikal Raja Dollah, 24, berkata, dia mengalami kerugian RM5,000 apabila ayam kampung dan itik ternakannya dimakan sekumpulan anjing liar.
Menurutnya, ada pihak yang menganggap tempat pembuangan sampah haram itu terdapat banyak makanan sebelum membuang anjing di kawasan tersebut.
“Selain itu, ternakan biri-biri dan anak lembu turut dibaham anjing liar yang aktif mencari makanan pada tengah malam dan awal pagi,” katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan perhimpunan aman di sini hari ini.
Suhaimi Dollah, 41, pula berkata, lebih 10 ekor biri-biri ternakan penduduk dimakan oleh 50 ekor anjing liar yang lazimnya datang pada setiap awal pagi.
“Kami mendesak PBT membantu penduduk menangkap anjing-anjing itu dalam kadar segera. Bukan setakat ternakan, keselamatan penduduk juga terancam apabila kebanyakan anjing liar di sini sentiasa lapar,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keamanan Kampung (JKKP) Beris Lalang, Kamarizan Fauzi berkata, penduduk Kampung Gong Nibong berdekatan lokasi pembuangan sampah turut mendesak jalan utama yang rosak teruk dibaiki segera.
Menurutnya, jalan sepanjang dua kilometer mengalami kerosakan teruk dan perlu dibaiki segera sama ada oleh kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan.
“Anjing liar dan kerosakan jalan adalah isu utama. Penduduk sudah tidak tahan dengan bau busuk dari kawasan sampah dan jalan yang sering rosak terutamanya pada musim hujan,” ujarnya. – UTUSAN