KUALA LUMPUR: Pelakon, Hairi Safwan, 37, memaklumkan dia sebelum ini hampir melakukan pembedahan bariatrik kerana masalah berat badan berlebihan.
Hairi, atau nama sebenarnya Hairi Safwan Aznan bagaimanapun lega apabila dimaklumkan tentang cara lain menurunkan berat badan tanpa perlu melakukan kaedah itu.
“Memang saya pernah bercadang untuk melakukan pembedahan itu kerana masalah sakit lutut yang berpunca daripada berat badan berlebihan.
“Lagipun, faktor kegemukan ini sedikit sebanyak menjejaskan stamina yang saya perlukan untuk berlakon.
“Tapi, saya bernasib baik kerana adanya seorang rakan, yang juga seorang doktor perubatan yang menyarankan kepada saya kaedah lain untuk turunkan berat badan.
“Jadi, tak perlulah saya buat bariatrik. Dengan kaedah yang disarankan itu pun saya sudah berjaya turunkan 15 kilogram (kg) dalam tempoh tiga minggu,” katanya.
Hairi berkata demikian pada sidang media sambutan Jubli Mutiara Ulang Tahun ASWARA & Pementasan Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Hairi turut berkongsi penglibatannya dalam menguasahakan Aqmal Mediklinik yang bermula sejak tiga bulan lepas.
Katanya, pembabitan tersebut adalah untuk menjana pendapatan tambahan disamping penglibatannya dalam bidang seni.
“Saya akui pendapatan berlakon sahaja tidak mencukupi untuk menyara keluarga.
“Jadi atas pelawaan rakan saya yang juga seorang doktor perubatan, saya buka klinik ini.
“Walaupun saya tak ada kepakaran dalam bidang perubatan, tetapi berdasarkan pengalaman, saya boleh kongsi saranan cara untuk turunkan berat badan berlebihan,” kongsinya.