TANJUNG MALIM: Guru yang bijaksana ialah guru yang berjaya mengajar anak didiknya lebih daripada ‘tulis, baca dan kira’, tetapi berjaya mendidik anak didiknya tentang kehidupan.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bertitah, guru yang bijaksana dapat mendidik anak didiknya tentang mentafsirkan erti kehidupan, realiti yang harus dilalui, dilalui dengan penuh yakin dan berani.
Titah baginda, ini kerana kehidupan yang sebenar bukan satu fairytale atau cerita khayalan.
Baginda bertitah, kehidupan sebenar mengandungi kisah duka di samping suka, kegagalan di samping kejayaan, kekurangan di samping kelebihan, kelemahan di samping kekuatan.
“Dunia ini diindahkan kerana wujudnya kepelbagaian. Taman yang indah ialah taman yang dilengkapi oleh pohon beraneka bentuk, beraneka rupa, serta bunga beraneka warna, beraneka bau yang dibantu untuk dapat hidup subur dan segar.
“Urusan dunia menjadi celaru jika kesemua insan hanya memiliki satu bakat.
“Oleh itu seorang guru yang bijaksana, demikian juga ibu bapa yang peka, berupaya menerima dan mengakui hakikat bahawa insan dicipta oleh Ilahi dengan pelbagai rupa, kebolehan, kekuatan, dan kecerdasan.
“Seorang guru yang bijaksana akan menjadi pendidik yang memahami dan mengambil tanggungjawab untuk memahamkan kepada anak didiknya realiti alam ciptaan Ilahi serta membantu mengembangkan potensi sebenar yang dimiliki oleh murid.
“Sewajibnya menjadi tanggungjawab utama para guru untuk menerima realiti perbezaan daya dan upaya anak didik, lantas secara bijaksana menyemaikan rasa yakin dalam diri mereka untuk menjadi warga yang berguna menurut bakat, kecenderungan dan daya upaya masing-masing,” titah baginda.
Baginda yang merupakan Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen UPSI ke-26 di sini hari ini.
Tuanku Zara bertitah, perangkaan tahun 2022, menunjukkan hanya 40 peratus pelajar yang berpeluang mengikuti pengajian di peringkat tertiari.
Titah baginda, baki 60 peratus menamatkan pengajian lebih awal dan majoriti telah menceburkan diri dalam alam pekerjaan.
“Mungkin ada di antara mereka yang menjadi pemandu kenderaan berperanan sebagai pemudah cara kepada perjalanan sebahagian tetamu yang hadir di dewan ini.
“Mungkin ada yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menyediakan pakaian para graduan, atau membekalkan skrol atau menyediakan minuman dan makanan dalam acara konvokesyen ini.
“Bermakna mereka juga berperanan signifikan kepada masyarakat dan negara. Tiap tugas dan tiap profesion, setiap satunya perlu dirangkai secara harmoni dalam tanggungjawab insan memenuhi fardu kifayah yang perlu disempurnakan seikhlas dan sebaik mungkin,” titah baginda.
Seramai 7,172 graduan telah memenuhi keperluan akademik untuk menggenggam ijazah dan diploma pada konvokesyen yang diadakan penuh gemilang termasuk penyanyi dan komposer profilik, Datuk M. Nasir dan vokalis kumpulan Lefthanded iaitu Datuk Nash.
M. Nasir atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Mohamed yang memulakan karier seni pada tahun 1979 menerima Kehormat Doktor Persembahan pada konvokesyen berkenaan.
Nash atau Nashrudin Elias yang terkenal dengan lagu ‘Pada Syurga Di Wajahmu’ pula menerima Ijazah Sarjana Pengajian Persembahan secara APEL Q.
Pada sesi pertama itu juga penghargaan diberikan kepada graduan terbaik menerusi anugerah-anugerah khas seperti Anugerah Pelajaran DiRaja dan Pingat Emas Canselor. – UTUSAN