KUALA LUMPUR: Tindakan lebih proaktif perlu diambil Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi mengesan sebarang pelanggaran salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, JIPS mula menggunakan dron untuk menjalankan siasatan dan pemantauan terhadap warga yang culas ketika bertugas.
Kata beliau, siasatan dilakukan JIPS juga perlu dibuat tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak.
“Tindakan lebih proaktif perlu diambil bagi memastikan tahap integriti dan tatakelola mereka berada di tahap baik.
“Sekarang JIPS menggunakan dron untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku seperti keluar dari pejabat untuk bermain golf.. kita akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Inspektor Pelatih, Sarjan Pelatih dan Konstabel Pelatih Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa 2024 di Dataran Kawad, PULAPOL Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, semua pegawai JIPS di kontinjen, Bukit Aman dan daerah juga telah diarahkan menahan pegawai yang dikesan berfoya-foya dan berbelanja melebihi kemampuan.
Beliau berkata, JIPS juga sudah pun menentukan bahawa Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam dilaksanakan terhadap penyelia yang gagal menyelia dengan baik.
“Tidak guna kalau penyelia gagal menyelia, tidak guna dia diletakkan menyelia di situ.
“Selain daripada itu, proses isytihar harta juga akan disemak oleh pihak JIPS untuk menentukan bahawa harta yang dimiliki (pegawai dan anggota polis) itu dalam kemampuannya, dia memang berkemampuan memiliki harta itu.
“Sekiranya tidak, kita akan mengambil tindakan seperti tindakan yang diambil ketika saya mula menjawat sebagai Ketua Polis Negara iaitu kita tukarkan (tempat tugas), kita arahkan untuk jual harta yang dia tidak ada kemampuan (beli) itu,” jelas beliau.
Mengulas mengenai majlis hari ini, Razarudin berkata, ini kali pertama diadakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan menggabungkan empat PULAPOL iaitu PULAPOL Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa.
“Penganjuran perbarisan tamat latihan PDRM, istiadat pada kali ini menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel dari empat PULAPOL.
“Barisan pelatih pada hari ini terdiri daripada pelatih PLAK Inspektor seramai 339 orang, PLAK Sarjan (293 orang) dan PLAK Konstabel (1,115 orang),” katanya. -UTUSAN