KUALA KANGSAR: Negara kini sedang menghadapi perkembangan yang semakin mengancam perpaduan rakyat apabila agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan.
“Retorik dan slogan sedemikian laksana bara yang semakin menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.
“Dibimbangkan rakyat semakin disemaikan prasangka, disuntik racun curiga. Rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan.
“Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan yang membolehkan rakyat berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka, tiada curiga, di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-68 di Istana Iskandariah di sini semalam.
Titah baginda, di samping isu agama dan kaum yang disensasikan, semakin didengari suara-suara yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.
Baginda bertitah, kebelakangan ini, perbuatan mahu mengetepikan adab malah memijak adat semakin dipelopori oleh kalangan yang buta huruf terhadap sejarah negaranya, kalangan yang cetek tentang tamadun bangsanya, kalangan yang berminda budaya pelarian, minda yang terapung-apung, minda yang tidak ada akar budaya, lalu melanggar adab dan menyisihkan adat.
“Terlalu berharga untuk tamadun yang telah dibina dibenarkan untuk dimusnahkan kerana perbuatan yang dicetuskan oleh individu dan organisasi yang longgar pegangan adat, dan kosong fahaman adabnya.
“Cerdiknya tidak boleh diikut dan dungunya tidak boleh diajar tetapi bernafsu besar untuk memperkenalkan tatacara baharu, bersuara dan berkelakuan sumbang tidak bertempat, mempromosi tingkah laku yang sangat bercanggah dengan kesopanan adat dan kehalusan adab,” titah baginda.
“Warga perlu disedarkan untuk menolak perbuatan pencerobohan budaya dan ditolak secara total kata dan suara, tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat. Warga tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang tidak bertamadun, miskin adab – papa adat,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, raja pemerintah di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi.
Baginda bertitah, raja pemerintah menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa yang berdisiplin, maju, moden lagi progresif.
“Hal ini menjadi amat relevan, bertambah relevan malah semakin relevan ketika masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai perbuatan subversif budaya dan sabotaj budaya.
“Raja pemerintah yang bertakhta ialah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu,” titah baginda.
Sementara itu, Perak berjaya merekodkan kutipan hasil negeri mencecah RM1.09 bilion setakat 1 November lalu bagi tahun 2024, iaitu meningkat RM130 juta berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prestasi tersebut diyakini dapat memadam unjuran defisit sebanyak RM67.5 juta dalam Belanjawan 2024.
Tambahnya, keadaan itu juga sekali gus akan sekali lagi merekodkan lebihan atau surplus untuk tiga tahun berturut-turut.
“Alhamdulillah, deretan keberhasilan yang didukung oleh data dan angka, menjadi cerminan betapa Kerajaan Paduka Seri Tuanku berada dalam haluan yang betul untuk menjayakan segala ikhtiar dan daya usaha yang digariskan dalam pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya. – UTUSAN