Guan Eng persoal KPM sambut, mesra dengan delegasi Taliban

Guan Eng persoal KPM sambut, mesra dengan delegasi Taliban

LIM Guan Eng-JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan  Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung kementerian itu  yang menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata,  Afghanistan adalah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti. 

Menurut beliau, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut mengecam Afghanistan pimpinan Taliban bahawa tindakan sedemikian adalah sama seperti apartheid jantina.

Kata beliau, lawatan delegasi itu menimbulkan persoalan kerana tidak dimaklumkan kepada umum, termasuk dilibatkan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

“Saya menimbulkan perkara ini kerana saya sebagai bukan sahaja wakil rakyat, tetapi seorang yang ambil berat mengenai hak asasi manusia, khususnya mengenai hak pendidikan golongan wanita.

“Saya ingin bertanyakan mengapa Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan lawatan sedemikian dari sebuah negara yang tidak ada hubungan diplomatik dengan Malaysia?.

“Lebih penting lagi ialah sebuah negara yang menyekat golongan wanita daripada belajar di sekolah menengah dan universiti, Afghanistan adalah satu-satunya negara di dunia yang melarang golongan wanita belajar di peringkat sekolah menengah dan universiti.

“PBB mengecam Afghanistan pimpinan Taliban bahawa tindakan sedemikian adalah sama seperti apartheid jantina. Jadi, saya mengharapkan satu penjelasan boleh diberikan kepada rakyat kerana kita amat prihatin.

“Nampaknya kita mesra dengan pimpinan Taliban yang melarang wanita belajar’- daripada belajar di sekolah menengah dan universiti,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Fadhlina mengesahkan kementeriannya menjadi tuan rumah kepada delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban awal bulan ini.

Beliau berkata, lawatan itu sudah berakhir dan kementeriannya berkongsi pandangan mereka mengenai pendidikan.

“Lawatan itu sudah berakhir dan mereka sudah pulang. Pertemuan (dengan mereka) untuk berkongsi pandangan Malaysia tentang pendidikan,” katanya.

Menurutnya, delegasi itu turut menyertai beberapa siri perbincangan mengenai pendidikan semasa mereka berada di sini.

Ditanya sama ada Malaysia akan memberikan bantuan kepada Afghanistan dalam bidang pendidikan, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan kemudian.

“Dalam aspek ini, kita memberi mereka peluang untuk memerhati dan belajar daripada sistem pendidikan kita,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya