Graduan Unimap perlu serlah kepakaran dalam pelbagai bidang

Graduan Unimap perlu serlah kepakaran dalam pelbagai bidang: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama para penerima anugerah bersempena Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-19 di Dewan Ilmu, Kampus Alam Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Graduan dan siswazah Universiti Malaysia Perlis (Unimap) diharap dapat menyerlahkan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang bagi membawa nama institusi pengajian itu ke peringkat lebih tinggi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, graduan universiti berkenaan juga seharusnya membantu dalam mempromosikan program dan pencapaian Unimap dalam kalangan profesional bagi meningkatkan prestij institusi pengajian itu.

Titah baginda, rangkaian alumni Unimap juga perlu diperkukuh dan diperkasakan dengan menjadi pemudah cara antara universiti dan rangkaian industri.

“Ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan amali khususnya buat pelajar tahun akhir,” titah baginda pada sidang satu Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-19 di Dewan Ilmu, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada majlis berkenaan disambut oleh Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin selaku Tuanku Canselor Unimap turut bertitah agar graduan universiti itu dapat memberi sumbangan kembali secara kewangan atau melalui sumber biasiswa seperti penyelidikan atau pembangunan kampus. 

“Selain itu, graduan juga disaran menyumbang ilmu dan nasihat menjurus kepada dasar dan program universiti agar sentiasa mengikut landasan serta keperluan pasaran pekerjaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, Unimap sentiasa mengalu-alukan graduan untuk kembali ke kampus bagi berkongsi ilmu kepakaran, pengalaman dan pandangan masing-masing melalui bengkel atau kuliah.

“Warga pendidik Unimap juga telah memainkan peranan penting dalam pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan modal insan yang mempunyai integriti, jati diri serta sifat kepimpinan yang tinggi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN