KOTA BHARU: Golongan muda dari negeri ini gemar ke kelab malam di Golok, Thailand untuk berhibur setiap kali hujung minggu iaitu pada malam Jumaat dan Sabtu.
Kebanjiran golongan itu menyebabkan ada dalam kalangan mereka perlu menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kawasan tersebut dan kemudian berhibur.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat itu disampaikan sendiri oleh rakan sejawatannya yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.
Menurutnya, kebanyakan anak muda yang berkunjung ke negara jiran itu dipercayai menggunakan laluan haram malah ada dalam kalangan mereka baru berusia belasan tahun.
“Saya dapat maklumat, orang dari Kelantan perlu tunggu ‘syif’ (giliran) untuk masuk ke kelab atau pub. Orang keluar dahulu, baru boleh masuk ke dalam.
“Memang penuh dan terlalu ramai. Hari biasa pun ramai apa lagi hujung minggu. Semua pihak tidak boleh buat apa kerana kerajaan Thailand tidak menyekat (masuk melalui laluan tidak sah),” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di IPK Kelantan, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, kebanyakan golongan itu Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada hari Sabtu.
Katanya, golongan yang gemar berhibur di kelab malam itu turut disyaki meletakkan kenderaan mereka di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara berkenaan.
“Semua pihak tidak boleh buat apa kerana kerajaan Thailand tidak sekat. Jika perkara itu berlaku di Malaysia (rakyat asing datang berhibur), pihak berkuasa boleh menangkap mereka mengikut Akta Imigresen.
“Oleh yang demikian, agak sukar untuk menghalang perbuatan rakyat Malaysia khususnya Kelantan untuk berhibur di Golok,” katanya.-UTUSAN