SHAH ALAM: Gobind Singh Deo tetap menjadi seorang tokoh politik yang dikagumi dan dihormati walaupun beliau tidak terpilih untuk memasuki jawatankuasa DAP Selangor 2024-2027 dalam pemilihannya semalam.
Timbalan Pengerusi DAP Selangor, V. Ganabatirau berkata, pemilihan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) itu merupakan antara yang bersejarah apabila menyaksikan jumlah perwakilan mengundi lebih 1,700 orang.
Menurutnya, keputusan pemilihan yang diperoleh semalam menunjukkan amalan demokrasi yang diamalkan oleh DAP dengan memperlihatkan ramai pemimpin-pemimpin baharu dipilih ke dalam jawatankuasa tersebut.
“Gobind adalah pemimpin utama dalam jawatankuasa di peringkat pusat. Beliau adalah tokoh yang dikagumi dan dihormati.
“Tetapi, saya percaya, dalam DAP kita nampak lebih ramai orang muda yang menang dalam pemilihan dan kebanyakannya berusia 40-an dan kg
e bawah berbanding pemimpin berusia 50-an. Ia secara tidak langsung menunjukkan DAP adalah parti yang ramai orang muda,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Konvensyen Biasa DAP Selangor 2024 semalam menyaksikan peralihan jawatankuasa parti peringkat negeri ini berlaku apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dipilih sebagai pengerusi baharu menggantikan Gobind Singh yang juga Menteri Digital dan Ahli Parlimen Damansara.
Malah, pemilihan tersebut juga menunjukkan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memperoleh undi tertinggi iaitu 1,180 diikuti bekas ADUN Teratai, Tiew Way Keng (1,155) dan Ng Sze Han (1,058).
Selain itu, keputusan lima teratas menunjukkan dua beradik Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, Papparaidu serta abangnya, Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau yang merupakan menang dengan undi masing-masing sebanyak 1,028 dan 1,020.
Turut terpilih dalam pemilihan tersebut adalah, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin (888); ADUN Seri Kembangan, Wong Siew Ki (846); Ahli Majlis Kawasan Perindustrian Bandar Baru Sultan Suleiman, Lee Fu Haw (841), ADUN Balakong, Ong Chun Wei (831) dan ADUN Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze (825).
Juga menduduki jawatankuasa baharu adalah Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim (819); ADUN Bukit Gasing, R. Rajiv (800); ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee (795); Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan (780) dan bekas exco Selangor, Ean Yong Hian Wah (753).
Dalam pada itu, Ganabatirau memberitahu pemilihan tersebut juga tidak memberi sebarang petunjuk perubahan drastik di peringkat pusat yang akan berlangsung pada pertengahan Mac tahun depan.
“Saya yakin perwakilan nanti akan lihat individu yang kuat bekerja dan baik pasti akan terpilih. Pemimpin muda juga pasti terpilih. Itulah kematangan dalam pemilihan DAP.
“Selain itu, pada pemilihan di peringkat pusat juga akan ada persefahaman yang baik sebagaimana berlaku di peringkat negeri. Kita tidak ada pasukan A, B atau C. Semuanya keluarga DAP,” ujarnya. – UTUSAN