GISBH: Mudir, pengerusi madrasah didenda urus sekolah Islam tanpa perakuan

GISBH: Mudir, pengerusi madrasah didenda urus sekolah Islam tanpa perakuan

AHMAD Azam Jaafar (tengah), Lutfi Mohamad Hamin (kiri) dan Muhammad Ghazalyi (kanan) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini atas pertuduhan menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan tanpa perakuan pendaftaran dan mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah. - UTUSAN / MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang mudir dan pengerusi madrasah di Rembau dan Kuala Pilah yang mempunyai kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Sdn. Bhd. didenda RM1,700 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan tanpa perakuan pendaftaran.

Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap mudir, Ahmad Azam Jaafar, 46, dan pengerusi madrasah, Lutfi Mohamad Hamin, 58, selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan menimbang rayuan tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Azam didapati menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan iaitu sebuah madrasah di Kampung Senama Hilir, Rembau tanpa mendapatkan perakuan pendaftaran daripada Pendaftar Sekolah di bawah Seksyen 13 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 antara Februari 2023 hingga September 2024.

Lutfi pula didakwa atas pertuduhan sama bagi sebuah madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah antara Disember 2021 hingga September 2024.

Sehubungan itu, kedua-dua lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996 iaitu menguruskan sekolah Islam tanpa perakuan pendaftaran, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Ahmad Azam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan kerana sekarang tidak mempunyai pendapatan tetap dan simpanan.

“Saya ada dua isteri dan 15 orang anak, sementara ini saya meniaga kuih peneram di tepi jalan dengan pendapatan RM50 hingga RM80 sehari,” katanya.

Lutfi yang mempunyai dua isteri dan 12 anak pula dalam rayuannya, memohon hukuman diringankan kerana bertanggungjawab ke atas premis bangunan dan kakitangan madrasah serta dalam proses membayar tunggakan sewa serta bil.

Sementara itu, Lutfi turut didakwa atas pertuduhan mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan yang berlawanan dengan hukum syarak di lokasi sama.

Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992, jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan bon jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara bermastautin di Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, timbalan mudir madrasah sama di Rembau iaitu Muhammad Ghazalyi Othman, 54, turut didakwa mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah.

Muhamnad Ghazalyi bagaimanapun mengaku tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan pada penghujung tahun 2022 hingga September 2024.

Bon jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bagi Muhammad Ghazalyi dikekalkan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula masing-masing pada 22 Januari dan 4 Februari tahun depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya