GISBH: Hubungi polis untuk dapat maklumat anak-anak - Utusan Malaysia

GISBH: Hubungi polis untuk dapat maklumat anak-anak

MOHD. Shuhaily Mohd. Zin (tengah) menyaksikan penyerahan tongkat kuasa antara Azizi Mat Aris (kiri) kepada Zulkafli Sariaat yang memangku jawatan Ketua Polis Perak selepas Azizi bersara wajib Ahad ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global melibatkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) boleh berhubung dengan polis jika mahu mendapatkan sebarang maklumat termasuk berkaitan keberadaan anak mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zin berkata, maklumat tersebut boleh diperoleh sekiranya waris kanak-kanak itu tampil bertanya kepada polis atau agensi yang berkolaborasi dalam operasi berkenaan.

“Dari hari pertama kita melancarkan operasi, kita telah menguar-uarkan untuk sesiapa sahaja datang (tampil) ke depan untuk membantu siasatan.

“Dalam konteks siasatan, sekiranya ada terpisah dengan anak, boleh datang bertanya, bukannya tidak boleh. Macam mana pula mereka kata tidak tahu,” katanya ketika ditemui pada majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Perak dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Mes Pegawai Kanan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Perak, Zulkafli Sariaat akan memangku tugas Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib pada Ahad ini.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan undang-undang yang mahu diambil oleh keluarga kanak-kanak itu terhadap pihak berkuasa, beliau berkata, perkara itu merupakan hak waris berkenaan.

Katanya, sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa dalam operasi berkenaan dibuat mengikut prosedur dan proses undang-undang.

“Dalam konteks ini, kita ada prosedur dan proses perundangan di mana saringan awal dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pasukan perubatan

“Bila diberi jagaan di bawah JKM, mereka pun ada prosedur untuk memastikan kanak-kanak ini diserahkan kepada orang yang betul-betul layak. Bukan sahaja layak dari sudut status hubungan tetapi juga mampu menjaga mereka dengan baik supaya kebajikan terjaga.

“Ini prosedur biasa. Kalau keluarga mahu ambil tindakan undang-undang atau sebagainya, itu hak mereka. Saya rasa agensi terlibat tidak tergugat sebab itu tugas mereka,” ujar beliau.

Pada 13 Oktober lalu, Jurucakap Gerakan Pulangkan Anak-Anak Kami (GPAAK), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dilapor berkata, seramai 174 kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH bukan diselamatkan oleh polis dan JKM seperti dilaporkan media, sebaliknya ditahan, dipisah serta disembunyikan secara tidak sah dari segi undang-undang. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya