Generasi muda ejen berkesan kecekapan tenaga - Fadillah

Generasi muda ejen berkesan kecekapan tenaga – Fadillah

FADILLAH Yusof bergambar bersama pelajar-pelajar serta guru-guru selepas Majlis Penyampaian Hadiah Energy Eficiency Challenge 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Usaha meningkatkan kecekapan tenaga tidak hanya bergantung kepada dasar dan teknologi semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) yang diluluskan pada 25 Jun lalu adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kawal selia penggunaan tenaga secara cekap serta mampan.

“Pembudayaan amalan kecekapan tenaga ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan pelepasan karbon serta kesan perubahan iklim terhadap negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Cabaran Kecekapan Tenaga (EE Challenge) 2024.

Katanya, kesedaran mengenai kecekapan tenaga amat penting diterapkan sejak di bangku sekolah kerana generasi muda adalah ejen perubahan yang paling berkesan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, Pertandingan EE Challenge adalah antara platform terbaik untuk mendidik pelajar mengenai amalan kecekapan tenaga, malah menggalakkan kreativiti, membina rasa tanggungjawab terhadap penggunaan tenaga secara cekap dan memupuk sikap cakna akan alam sekitar.

Berdasarkan analisis laporan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Tenaga, sekolah yang menyertai kategori Sekolah Paling EE pada tahun ini mencatat penjimatan penggunaan elektrik sebanyak 53,014 kilowatt jam (kWj) iaitu bersamaan nilai RM28,400.

Menurut Fadillah, penjimatan tenaga terkumpul sepanjang 11 tahun penganjuran pertandingan berkenaan adalah sebanyak 1,568,025 kWj bersamaan nilai RM840,446 dengan 1,207 tan karbon dioksida dihindarkan.

“Hasil penjimatan terkumpul ini juga dapat menggalakkan pertumbuhan sebanyak 18,113 batang anak pokok selama tempoh 10 tahun,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya