IPOH: Hasrat melihat tumbangnya kerajaan Perpaduan Perak tidak kesampaian dan malah sudah genap berusia dua tahun pada 21 November lalu, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, sejak kerajaan Perpaduan Perak ditubuhkan pelbagai usaha licik dibuat bagi menggoncang kestabilan kerajaan termasuk dimainkan sentimen kaum dan agama.
“Mulanya dimainkan naratif kerajaan ini akan hanya mampu bertahan beberapa bulan kerana perbezaan ideologi.
“Tetapi itu tidak berlaku (kejatuhan kerajaan). Di sebalik segala tohmahan dan keraguan yang sengaja ditimbulkan, BN memimpin kestabilan dengan memelihara prinsip kebersamaan dan kesantunan dalam berkerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Konvensyen BN Negeri Perak 2024 di sini hari ini yang dihadiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Saarani yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak pada 21 November 2022 selepas Pakatan Harapan (PH) dan BN bersetuju membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Jelasnya, kestabilan kerajaan negeri juga dibuktikan dengan prestasi dari segi kewangan serta aktiviti ekonomi termasuk mampu mengumpul kutipan hasil mencecah RM1.21 bilion pada tahun 2023.
Beliau berkata, BN yang berpegang kepada prinsip kesederhanaan menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan realiti politik.
“Sama ada UMNO, MCA, MIC atau Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), kita perlu memperkuatkan rasa saling percaya dan memahami perspektif yang berbeza dalam setiap komponen,” katanya.
Beliau malah berkata, wakil daripada parti komponen BN juga tidak diketepikan dalam menyertai kerajaan negeri termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT). – UTUSAN