KOTA BHARU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 56 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menggempur beberapa premis di bandar ini dan Machang.
Kesemua PATI berusia 23 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Ops Mahir/Sapu/Dandan yang bermula semalam hingga pagi tadi.
Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Pengurusan) Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu seramai 48 lelaki warga Bangladesh telah ditahan dalam serbuan tersebut.
Menurutnya, selain itu empat lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia turut ditahan.
“Kita (JIM Kelantan) turut menahan seorang lelaki warganegara Nepal. Kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nik Akhtarulhaq memberitahu, serbuan itu melibatkan beberapa kawasan di Kota Bharu iaitu Kampung Kok Pasir, Tempoyak, Kampung Beting Lebar Kemumin.
“Di Machang pula, kita menggempur beberapa premis di Kampung Merbau Chondong dan Pulai Chondong.
“JIM Kelantan menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkait PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.-UTUSAN