GEM seru komuniti gig tuntut hak, keadilan

GEM seru komuniti gig tuntut hak, keadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan e-hailing Malaysia (GEM) menyeru semua pemandu e-hailing dan p-hailing di negara ini untuk bersolidariti dan bersatu padu dalam menuntut hak dan keadilan komuniti ini.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, isu ketidaktentuan kadar upah menyebabkan ramai tersepit walaupun berusaha mencari rezeki halal, namun sistem yang tidak konsisten terus membebankan pemandu.

Menurutnya, kos insurans tambahan e-hailing yang semakin meningkat tanpa kawalan hanya menambah beban kepada komuniti gig, terutama bagi mereka yang terpaksa bekerja tanpa perlindungan yang mencukupi.

“Komuniti kita tidak boleh terus diperdaya dalam keadaan yang penuh kecelaruan seperti hari ini yang secara tidak langsung menggugat kehidupan dan ahli keluarga yang bergantung kepada kita.

“Segala isu yang menekan termasuk ketidaktentuan kadar upah atau pendapatan, kenaikan kos insurans tambahan yang melambung, serta kerakusan pihak kapitalis yang menangguk di air keruh, semuanya perlu dihentikan” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, akhbar melaporkan pekerja ekonomi gig p-hailing dan e-hailing berharap kerajaan memberi fokus kepada sektor itu dengan menetapkan kadar upah selain memperjuangkan kebajikan mereka.

Mengulas lanjut, Jose berkata, lebih membimbangkan ialah pihak kapitalis yang rakus mengambil kesempatan atas keadaan ini dan mengaut keuntungan di atas kesempitan komuniti kita, manakala lintah darat pula terus menambah tekanan demi kepentingan mereka.

Jelasnya, komuniti tidak boleh terus berdiam diri dan situasi ini jelas tidak boleh dibiarkan berlanjutan tanpa ada pihak yang ingin menuntut keadilannya.

“Ramai daripada komuniti kita telah pun gugur dan terkorban demi mencari sesuap nasi untuk diri sendiri dan keluarga tercinta.

“Hanya dengan kesatuan dan keberanian ini, kita dapat membawa perubahan positif dan menjamin masa depan yang lebih baik untuk komuniti gig di Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya