Baru-baru ini Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan tinjauan selama tiga tahun dari 2021 mendapati hampir separuh daripada 15,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di lima negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk 2,000 perempuan dikesan ketagih vape.
Ini menunjukkan masalah ketagihan vape dalam kalangan pelajar sekolah semakin serius dan membimbangkan sekali gus menuntut tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya sebelum terus memudaratkan kesihatan golongan belia negara ini.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ketagihan vape dalam kalangan murid sekolah ialah vape terlalu mudah untuk diperoleh atau dibeli seperti di kedai-kedai runcit tanpa sebarang kawalan selain faktor pengaruh dan kawalan yang longgar di rumah.
Hakikat pahit yang perlu kita akui adalah ketika ini anak-anak cukup terdedah dengan penjualan vape di mana-mana saja. Misalnya waktu balik dari sekolah mereka boleh singgah di mana-mana kedai tepi jalan untuk membeli vape yang dijual pula pada kadar harga yang murah dan mampu dibeli oleh pelajar iaitu di antara RM5 hingga RM10 ringgit.
Tinjauan CAP juga mendapati 1,000 kanak-kanak tidak membeli atau menggunakan wang sendiri untuk membeli vape sebaliknya memperoleh daripada rumah sendiri kepunyaan ahli keluarga sama ada nenek, bapa atau abang mereka. Kelompok ini dilaporkan mula mencuba vape ketika tiada sesiapa di rumah.
Memandangkan masalah ketagihan vape semakin serius, sudah tiba masanya pihak berkuasa dan ahli keluarga memainkan peranan yang lebih tegas bagi melindungi anak-anak dari pada terus terjebak dalam gejala tidak sihat ini.
Pihak berkuasa diharap dapat mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih tegas dengan meningkatkan kawalan terhadap produk mengandungi nikotin. Hal ini penting kerana walaupun ada undang-undang yang melarang membeli atau memiliki produk rokok namun penjualan yang tidak terkawal dan mudah menyebabkan pelajar bebas memiliki dan menghisap vape.
Justeru perlu juga ada undang-undang yang menyekat dan melarang penjual mempamerkan produk vape, e-rokok dan rokok di kaunter pembayaran di semua premis yang menjual produk tersebut.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED Ialah Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang Selangor.