KUALA LUMPUR: Pengarah, Shah Faizul, berpendapat menggandingkan pelakon Aiman Hakim Ridza dan Puteri Balqis sebagai pasangan kekasih di skrin adalah pilihan yang sesuai.
Jelasnya, gandingan menerusi drama Sebelum Titik Noktah adalah sebuah eksperimentasi yang tidak pernah dilakukan mana-mana sutradara sebelum ini.
“Saya sudah mengenali Puteri Balqis sejak usianya empat tahun dan dia mempunyai satu ‘look’ yang sesuai dengan watak ini.
“Mungkin tidak ramai yang menyangka gandingannya dengan Aiman. Namun apabila ia tiada dalam kepala penonton, itulah perkara yang mengujakan.
“Walaupun begitu, apabila di skrin, mereka nampak jadi, sesuai dan tidak nampak beza umur yang terlalu jauh,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran drama Unifi TV Originals berjudul Sebelum Titik Noktah, baru-baru ini.
Drama tersebut mengisahkan tentang seorang penulis novel iaitu Hariz (Aiman Hakim) yang kehabisan idea dan ditinggalkan kekasihnya iaitu Amylia (Puteri Balqis).
Sejak drama itu menemui penonton pada Isnin, pelbagai reaksi diberikan berkenaan gandingan dua pelakon popular itu.
Tambahan pula, klip babak pergaduhan dalam drama tersebut telah dimuat naik dan mendapat hampir 700,000 tontonan di media sosial.
Walaupun ramai memuji mutu lakonan yang dipersembahkan Aiman dan Balqis, namun gandingan sebagai pasangan kekasih dilihat tidak cukup menjadi.
“Walaupun Aqish pakai solekan tebal untuk nampak dewasa, namun masih tidak sesuai,” tulis satu komen.
“Mungkin kalau heronya Aedy Ashraf akan nampak lebih sesuai sebab umur tidak terlalu jauh,” kata yang lain.
“Dalam drama ini, Aiman nampak seperti hujung 20-an dan Aqish awal 20-an, tiada masalah. Mungkin faktor ketinggian juga,” kata seorang penonton. -UTUSAN