IPOH: Empat keping gambar mayat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie yang memaparkan kecederaan yang dialami remaja terbabit selepas dilanggar dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Antara kecederaan luaran yang dilihat pada gambar tersebut ialah pada muka dan tangan kanan selain mayat mangsa di bilik mayat sebelum bedah siasat bermula di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Gambar itu ditunjukkan ketika saksi pendakwaan kelima, Koperal Shahiran Mohamad daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberi keterangan dalam prosiding kes bunuh Muhammad Zaharif, membabitkan Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak.
Ujarnya, gambar-gambar tersebut diambil ketika mayat mangsa berada di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut Shahiran, gambar-gambar itu dirakam selepas menerima arahan daripada pegawai penyiasat, Inspektor Jong Pit Chao.
Katanya, selain gambar mangsa, dia juga diarahkan untuk mengambil gambar di sekitar lokasi pelanggaran serta gambar dua kenderaan yang terlibat iaitu kereta Perodua Ativa dan motosikal Yamaha LC.
“Di tempat kejadian, saya telah ambil 19 keping gambar di mana gambar-gambar tersebut menunjukkan papan tanda jalan di lokasi, pandangan arah laluan kedua-dua kenderaan dari jarak jauh, arah pandangan di mana pelanggaran berlaku dan serpihan papan nombor pendaftaran motosikal yang terlibat dalam kemalangan.
“Selain itu, saya juga telah mengambil lapan keping gambar motosikal terlibat di lokasi kejadian selain empat keping gambar kereta terbabit kemalangan di pekarangan IPD Ipoh,” katanya ketika membaca penyataan bertulisnya di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.
Shahiran memberitahu, selepas gambar selesai diambil, bahan berkenaan telah dimuat turun dari kamera ke dalam sistem komputer Intergrated Police Reporting System (i-PRS) melalui kad memori.
“Selepas memasukkan nombor laporan, saya mengisi butiran setiap gambar yang diambil dan mencetak serta membuat salinan ke dalam cakera padat (CD) sebelum diserahkan kepada Inspektor Jong Pit Chiao.
“Kamera, kad memori dan komputer adalah dalam kawalan saya sepenuhnya dan tiada orang lain boleh menggunakan peralatan-peralatan tersebut,” katanya.
Terdahulu, mahkamah turut ditunjukkan lima rakaman berkait kejadian pelanggaran tersebut ketika saksi pendakwaan ketiga, Pegawai Siasatan Forensik Makmal, Asisten Superintenden Nur Fairuz Idris memberi keterangan.
Pada prosiding itu, Nur Fairuz membuat pengesahan mengenai 24 keping gambar yang dikeluarkan daripada kelima-lima rakaman tersebut.
Menerusi penyataan bertulis, Nur Fairuz memaklumkan bahawa analisis dijalankan terhadap lima rakaman daripada satu unit cakera padat (CD-R) dan seunit kad memori, dua cakera video digital (DVD-R) dan seunit kamera papan pemuka kenderaan bersama kad memori.
Bagaimanapun, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz sama ada beliau ada membuat analisis ketulenan tiga rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Nur Fairuz menjawab, tiada.
Menurutnya, pengesahan ketulenan video berkenaan tidak dapat dibuat ekoran pegawai penyiasat tidak memberi kepadanya peranti asal iaitu dekoder CCTV tersebut.
“Proses ‘verification’ adalah untuk mengesahkan ketulenan. Namun untuk kes ini, pegawai penyiasat tidak beri kepada saya peranti asal iaitu dekoder untuk saya sahkan bahawa rakaman ini adalah sama dengan rakaman yang ada di dalam dekoder.
“Disebabkan itu, saya tidak dapat buat pengesahan melainkan pegawai penyiasat hantar dekoder bukannya rakaman dalam CD atau DVD.
“Saya ada tanya pegawai penyiasat tapi dia beritahu tidak dapat buat rampasan untuk dekoder, disebabkan itu dia serahkan CD yang mempunyai rakaman daripada dekoder tersebut,” katanya.
Perbicaraan bersambung esok. – UTUSAN