Gaji kedi cecah RM6,000 sebulan

Gaji kedi cecah RM6,000 sebulan

KERJAYA sebagai kedi mampu meraih pendapatan lumayan sehingga mencecah RM6,000 sebulan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Industri golf menjanjikan pendapatan lumayan mencecah RM6,000 sekiranya diberikan ruang dan peluang kepada anak-anak muda tempatan untuk menceburi kerjaya sebagai kedi.

Kerjaya sebagai kedi tidak memerlukan sijil pendidikan tinggi, sebaliknya bergantung kepada minat dan kemahiran yang sekali gus mampu mena­warkan pekerjaan sepenuh ma­sa dan faedah serta persekitaran kerja lebih kondusif.

Perkara itu diakui sendiri oleh seorang kedi, Muhammad Faiz Zulnordin, 27, yang sanggup me­nukar kerjaya sebagai pengu­rus operasi di sebuah syarikat kepada kedi yang dilihat lebih terjamin walaupun sekadar di atas padang golf.

Katanya, persepsi kedi ha­nya sekadar membawa beg dan mengutip bola perlu ditukar memandangkan mereka juga membantu merancang strategi setiap permainan di samping mengasah bakat pemain.

“Oleh itu, tidak salah jika anak-anak muda yang ingin mencari pekerjaan untuk me­njadi seorang kedi. Asalkan mereka ada keinginan dan minat dalam sukan golf, malah kerjaya ini menjanjikan pendapatan bermula RM3,000 hingga RM6,000.

“Jadi amat wajar sekiranya membuka peluang seluas-luasnya kepada anak-anak tempatan yang mahu menceburi kerjaya ini berbanding mengutamakan orang luar, apatah lagi bidang ini menjamin gaji dan pendapatan lebih tinggi,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini mela­porkan sebanyak RM2.8 juta mengalir keluar dari negara pada setiap bulan ekoran tindakan kelab-kelab golf mengambil dan mengutamakan 1,740 pekerja asing untuk berkhidmat sebagai kedi tanpa permit sah dengan menganaktirikan pekerja tempatan.

Lebih mengejutkan, mereka yang ditempatkan di kelab-kelab golf, dipercayai menyalahi undang-undang negara ini apabila berkhidmat sebagai kedi tanpa permit pihak berkuasa.

Sumber industri mendedahkan, pihaknya amat kecewa dengan perkembangan itu selepas didapati 80 peratus daripada 159 kelab golf me­ngupah warga asing meskipun negara mempunyai kedi tempatan bertauliah di sam­ping telah diberi latihan secukup­nya.

Seorang lagi kedi, Nifael Azman, 23, dia amat berharap jika industri golf menyediakan peluang lebih terbuka kepada warga tempatan untuk menceburi kerjaya itu meskipun tidak memerlukan lulusan akademik, sebaliknya berupaya meningkatkan taraf kehidupan.

Katanya, dia sanggup menukar kerja dalam sektor perkhidmatan makanan (F&B) kepada kedi kerana mahu menikmati kualiti hidup lebih terjamin.

“Kerjaya ini bukan angkat beg sahaja, tetapi merancang strategi permainan golf. Ia sekali gus menuntut latihan dan kemahiran yang akan diperoleh dengan kursus singkat,” katanya.

“Bermula teknik bermain golf sehinggalah peraturan, ia dapat melatih terutamanya dalam kalangan anak-anak muda masih belum mendapat kerja untuk menjadi kedi. Kerjaya inilah menawarkan pendapatan lebih setimpal untuk mengharungi kehidupan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya