Gaduh: 17 termasuk dua wanita ditahan untuk bantu siasatan

Gaduh: 17 termasuk dua wanita ditahan untuk bantu siasatan

SAZALEE ADAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan 17 individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan berhubung satu pergaduhan yang tercetus di Queen Water Front Q1, Bayan Lepas di sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, pergaduhan yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi itu berpunca daripada salah faham antara sepasang kekasih.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, 15 lelaki dan dua wanita yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar Bayan Lepas.

Katanya, mengikut laporan awal yang diterima polis, seorang lelaki iaitu pengadu mendakwa telah melihat teman wanitanya bersama seorang lelaki yang tidak dikenali ketika sedang berada di Queen Water Front Q1.

“Ketika itu, berlaku pergaduhan kecil di antara pengadu dengan lelaki berkenaan. Pergaduhan tersebut bagaimanapun berjaya dileraikan oleh teman wanitanya.

“Pengadu kemudian bertindak menghubungi rakan dan ibunya untuk berbincang secara baik bersama teman wanitanya. Namun, ketika mereka tiba, datang sekumpulan lelaki yang dianggarkan seramai 10 orang telah datang menyerang dan memukul pengadu dengan menggunakan topi keledar,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Sazalee, pengadu yang berjaya melarikan diri telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian tersebut.

“Pihak polis seterusnya menahan mereka yang terlibat dalam kejadian ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan ketika ini. Mereka yang ditahan terdiri daripada pekerja kilang, pelajar kolej, pembantu restoran, berniaga dan penganggur.

“Polis turut merampas lima topi keledar yang digunakan mereka dalam pergaduhan tersebut,” katanya yang menambah, tiga daripada individu yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Kesemua mereka kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya