FV: PAC panggil Khazanah, PNB 

FV: PAC panggil Khazanah, PNB 

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bulan depan berhubung kerugian pelaburan dalam FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) berjumlah RM43.9 juta.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan memulakan prosiding pada minggu kedua Disember.

“PAC akan memanggil Khazanah dan PNB berhubung kerugian itu. Prosiding dijangka diadakan pada minggu kedua Disember 2024,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

FashionValet kini menjadi tumpuan selepas syarikat itu menjadi penyebab kerugian pelaburan oleh Khazanah dan PNB, malah, syarikat berkenaan turut dilaporkan mengalami kerugian lima tahun berturut-turut sebelum dua syarikat berkaitan kerajaan itu membuat pelaburan.

Semakan pemfailan akaun kewangan syarikat antara 2012 dan 2017 menunjukkan, kerugian FV meningkat kepada RM10.7 juta pada 2017 berbanding RM166,793 pada 2012, sebelum pelaburan Khazanah dan PNB dalam syarikat itu pada 2018.

Maklumat kewangan tersebut diperoleh daripada pemfailan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Terdahulu, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank persendirian dan syarikat milik pengasas platform e-dagang itu, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.

Pembekuan itu menerusi Op Favish susulan siasatan terhadap pasangan terbabit berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah dan PNB berjumlah RM43.9 juta.

Isnin lalu, SPRM secara serentak menyerbu FashionValet, Kementerian Kewangan (MOF), Khazanah dan PNB serta memperoleh dokumen berkaitan kewangan yang boleh membantu siasatan.

Perkara tersebut sebelum ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan tersebut.

“Selaku Pengerusi, saya mengarahkan Khazanah untuk melakukan audit dalaman bagi menyiasat permasalahan terkait kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta baru-baru ini.

“Arahan tegas ini adalah sebagai memaknai pengumuman saya sebelum ini yang mengarahkan Jabatan Audit Negara (JAN) melakukan pengauditan terhadap 2,000 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang lebih baik.

“Ia selain memastikan semua syarikat berkenaan memenuhi tuntutan tanggungjawab dan fungsi masing-masing,” kata Anwar, dalam laman sosial rasminya sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya